DigitalBridge pertimbang jual syarikat menara telekomunikasi EdgePoint | DagangNews Skip to main content

DigitalBridge pertimbang jual syarikat menara telekomunikasi EdgePoint

Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 17 Sept - DigitalBridge Group Inc sedang mempertimbangkan pilihan, termasuk penjualan firma Asia Tenggara EdgePoint Infrastructure. 

 

Menurut pihak yang mengetahui perkara itu, penjualan itu berdasarkan peningkatan permintaan pelabur terhadap aset telekomunikasi itu. 

 

DigitalBridge yang tersenarai di Amerika Syarikat (AS) sedang bekerjasama dengan penasihat kewangan mengenai semakan strategik yang mungkin membawa kepada penjualan penuh atau sebahagian EdgePoint, kata pihak tersebut. 

 

Mereka juga tururt berkata, DigitalBridge mungkin menjana sebanyak AS$4 bilion (RM17.2 bilion) bagi perniagaan menara telekomunikasi dalam sebarang transaksi.

 

“EdgePoint telah menarik minat awal daripada dana tertumpu infrastruktur lain.

 

“Perbincangan masih di peringkat awal dan DigitalBridge boleh membuat keputusan untuk tidak meneruskan perjanjian,” ujarnya. 

 

Sementara itu, wakil DigitalBridge dan EdgePoint enggan mengulas.

 

Pelabur global telah mengintai aset infrastruktur digital ketika mereka berusaha memanfaatkan peningkatan permintaan teknologi sambil mencari pulangan yang stabil.

 

Blackstone Inc minggu lalu bersetuju untuk memperoleh pengendali pusat data Australia AirTrunk dalam perjanjian yang menilai firma itu A$24 billion dolar Australia (bersamaan AS$16.1 bilion atau RM69.27 bilion), termasuk hutang dan perbelanjaan modal bagi projek yang komited.

 

Ditubuhkan pada 2020, EdgePoint Infrastructure merupakan syarikat infrastruktur menara telekomunikasi berpangkalan di Singapura dan beroperasi di Indonesia, Malaysia dan Filipina.

 

Unitnya Kumpulan Centratama, memiliki lebih daripada 10,000 tapak di Indonesia, manakala Menara EdgePoint di Malaysia mengendalikan lebih daripada 1,500 tapak dan EdgePoint Filipina mempunyai lebih 2,800.

 

EdgePoint juga disokong oleh Pihak Berkuasa Pelaburan Abu Dhabi.

 

DigitalBridge menguruskan sebanyak AS$84 bilion (RM361.43 bilion) aset infrastruktur digital, termasuk pusat data, menara sel dan rangkaian gentian setakat akhir Jun, menurut laman webnya.

 

Pendapatan bersih suku kedua firma yang berpangkalan di Boca Raton, Florida adalah AS$77 juta (RM331.3 juta) daripada jumlah hasil AS$390 juta (RM1.6781 bilion).

 

Sahamnya telah jatuh 21% tahun ini, nilai pasaran syarikat itu adalah AS$2.4 bilion (RM10.32 bilion).- DagangNews.com