Perdagangan Malaysia Ogos 2024 cecah RM252.65 bilion, eksport naik 12.1% - MITI | DagangNews Skip to main content

Perdagangan Malaysia Ogos 2024 cecah RM252.65 bilion, eksport naik 12.1% - MITI

Gambar MMC Ports
Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 19 Sept - Perdagangan Malaysia meningkat 18.6% pada Ogos 2024 kepada RM252.65 bilion berbanding RM213 bilion setahun sebelumnya.

 

Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) berkata, angka itu merupakan kadar terpantas dalam tempoh 22 bulan dengan eksport mengekalkan momentum pertumbuhan bagi lima bulan berturut-turut, naik 12.1% kepada RM129.16 bilion.

 

Menurutnya, import Malaysia pula berkembang sebanyak 26.2% kepada RM123.49 bilion, menghasilkan lebihan dagangan ke-52 bulan berturut-turut sejak Mei 2020.

 

"Pertumbuhan eksport Ogos 2024 dipacu terutamanya peningkatan permintaan bagi barangan elektrik dan elektronik (E&E), minyak sawit dan keluaran pertanian berasaskan minyak sawit, jentera, kelengkapan dan peralatan serta barangan optik dan saintifik. 

 

"Selain daripada itu, eksport barangan perkilangan turut mencatatkan pertumbuhan ketara dua digit," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

 

miti1

 

Menurut MITI, dari segi pasaran, eksport ke rakan dagang utama iaitu ASEAN, China, Amerika Syarikat (AS), Kesatuan Eropah (EU) dan Taiwan merekodkan pertumbuhan.

 

Katanya, eksport ke AS melonjak kepada nilai tertinggi baharu, disumbangkan terutamanya oleh peningkatan permintaan bagi barangan E&E khasnya peranti semikonduktor dan litar bersepadu elektronik (ICs). 

 

ARTIKEL BERKAITAN: Perdagangan Malaysia Julai 2024 cecah RM255.88 bilion, eksport naik 12.3% - MITI

 

"World Semiconductor Trade Statistics (WSTS) mengunjurkan jualan semikonduktor global akan meningkat sebanyak 16% pada tahun 2024 disokong oleh prestasi pasaran pengkomputeran pengguna akhir yang lebih kukuh," jelasnya.

 

miti2

 

Dalam pada itu, MITI berkata, bagi tempoh lapan bulan pertama tahun 2024, perdagangan mencatatkan jumlah tertinggi bagi tempoh Januari hingga Ogos setakat ini, meningkat 10.9% kepada RM1.905 trilion berbanding tempoh yang sama tahun 2023. 

 

Kata kementerian itu, eksport naik 6% kepada RM991.36 bilion dan import mengembang sebanyak 16.8% kepada RM913.18 bilion, menghasilkan lebihan dagangan bernilai RM78.17 billion.

 

"Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) mengekalkan unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) global sebanyak 3.2% pada tahun 2024, pada masa yang sama menekankan mengenai risiko inflasi yang mungkin berlaku dan ketegangan perdagangan yang berterusan. 

 

"Bagi Malaysia, IMF menganggarkan pertumbuhan KDNK sebanyak 4.4% pada tahun 2024, menggambarkan prospek ekonomi yang stabil," katanya.

 

Tambah MITI, pencapaian ini  adalah dilihat konsisten dengan pertumbuhan KDNK negara sebanyak 5.1% pada separuh tahun pertama (1H) 2024 yang melebihi pertumbuhan 4.1% dicatatkan pada 1H 2023. 

 

"Di sebalik perkembangan positif ini, MITI dan agensinya akan terus memberikan perhatian untuk menangani sebarang cabaran atau gangguan global yang berkemungkinan akan berlaku agar Malaysia dapat mengekalkan momentum ekonominya," ujarnya. - DagangNews.com