Positif WCT tubuh Paradigm REIT, Kenanga Research naik taraf saranan kepada 'Outperform' | DagangNews Skip to main content

Positif WCT tubuh Paradigm REIT, Kenanga Research naik taraf saranan kepada 'Outperform'

Paradigm Mall Johor Bahru
Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 19 Sept - Kenanga Research menaik taraf saranan WCT Holdings Bhd kepada 'Outperform' dengan meningkatkan harga sasaran (TP) sebanyak 22% kepada RM1.43 sesaham berbanding RM1.17 sebelum ini.

 

Firma penyelidikan itu berkata, ini didorong nilai pelupusan bagi tiga aset pusat beli-belah WCT sebanyak RM2.44 bilion untuk penyenaraian dana amanah pelaburan hartanah (REIT) yang dinamakan Paradigm REIT pada suku pertama tahun kewangan 2025 (FY25). 

 

"Penilaian ini melebihi andaian kami sebelum ini sebanyak RM1.02 bilion, mendorong kami untuk meningkatkan harga sasaran kami sebanyak 22% kepada RM1.43 (daripada RM1.17). 

 

"Kami positif terhadap penyenaraian REIT ini kerana ia menandakan permulaan proses penilaian semula. Fokus seterusnya harus diberikan kepada segmen pembangunan hartanahnya, yang disokong oleh penyata kewangan yang lebih kukuh selepas penyenaraian REIT," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Rancangan penubuhan REIT peluang baik bagi WCT kurangkan hutang - MIDF Research

 

WCT semalam mengesahkan rancangan untuk memanfaatkan tiga aset hartanah runcitnya iaitu Pusat Beli-belah Bukit Tinggi, Paradigm Mall Petaling Jaya dan Paradigm Mall Johor Bahru dengan nilai keseluruhan RM2.44 bilion kepada REIT yang baru ditubuhkan bernama Paradigm REIT. 

 

REIT ini akan disenaraikan di Pasaran Utama Bursa Malaysia. Paradigm REIT akan membiayai suntikan aset dengan mengeluarkan 1.6 bilion unit baharu pada harga anggaran RM1.00, serta pembayaran tunai sebanyak RM837 juta. 

 

Kenanga Research dalam pada itu, optimis terhadap langkah ini kerana penyenaraian REIT dapat memulakan proses penilaian semula. 

 

"Kira-kira 98% daripada hasil (dianggarkan sebanyak RM1.40 bilion) daripada penyenaraian akan digunakan untuk mengurangkan pinjaman, yang membawa kepada penjimatan faedah tahunan yang dijangka sebanyak RM50 juta," jelasnya.

 

Firma penyelidikan itu percaya WCT bersedia untuk FY24 yang lebih baik dengan pelbagai projek infrastruktur awam akan dilaksanakan seperti MRT3, projek naik taraf Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang, Lebuh Raya Pan Borneo Sabah, pelan Pemulihan Lapangan Terbang Subang dan pelbagai hospital kerajaan. 

 

Sehubungan itu, Kenanga Research terus menggemari WCT kerana prospek yang meningkat bagi sektor pembinaan tempatan dengan jangkaan banyak pelaksanaan projek awam dan pemulihan keuntungan pembinaannya dengan penyelesaian projek warisan bermargin rendah.

 

WCT juga katanya mempunyai potensi penilaian semula dengan premium risiko yang lebih rendah apabila ia mengurangkan penggajian melalui pelupusan tanah serta penyenaraian Paradigm REIT. 

 

"Oleh itu, kami menaikkan penarafan saham ini kepada "Outperform' daripada 'Market Perfom'. 

 

"Penilaian semula lanjut mungkin berlaku dengan pelancaran hartanah yang lebih baik yang dibiayai oleh penyata kewangan yang lebih kukuh selepas penyenaraian REIT," jelasnya. - DagangNews.com