YBS ambil alih pegangan unit Allied Technologies Holdings pada harga RM167 juta | DagangNews Skip to main content

YBS ambil alih pegangan unit Allied Technologies Holdings pada harga RM167 juta

Gambar hiasan dari laman web rasmi YBS International Berhad
Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 19 Sept - YBS International Bhd mengambil alih keseluruhan pegangan unit Allied Technologies Holdings Pte Ltd dengan jumlah harga indikatif sebanyak AS$38 juta (RM167.2 juta). 

 

Menurut makluman Kumpulan itu kepada Bursa Malaysia, daripada harga belian, AS$26 juta (bersamaan RM114.4 juta) akan dibayar secara tunai dan baki AS$12 juta (bersamaan RM52.8 juta) akan dibayar melalui terbitan 70.4 juta saham YBS pada 75 sen sesaham. 

 

Harga beliannya hampir mencecah nilai pasarannya iaitu RM173 juta.

 

YBS telah memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan Allied Technologies Holdings untuk mengambil alih syarikat termasuk Allied Precision Manufacturing (M) Sdn Bhd (APM), Allied Precision Technologies (M) Sdn Bhd (APTM), Allied Precision (Thailand) Co Ltd (APTC) dan Allied Technologies (Saigon) Co Ltd.

 

Syarikat-syarikat itu menyediakan perkhidmatan pembuatan ketepatan seperti prototaip reka bentuk dan pembangunan produk, fabrikasi alat dan cetakan, pengeluaran dan perkhidmatan sub-pemasangan mekanikal bagi memenuhi keperluan pelanggan mereka yang kebanyakannya dari industri komputer dan perkakasan komputer.

 

YBS berkata, syarikat tersebut mempunyai kumpulan profesional yang pakar dalam menyediakan perkhidmatan pembuatan dan pemasangan mekanikal.

 

“Cadangan pengambilalihan itu adalah sebahagian daripada pelan strategik syarikat bagi mengembangkan perniagaan secara berkesan dengan meluaskan penawaran produk dan perkhidmatan.

 

“Melangkah ke hadapan, kami percaya cadangan pengambilalihan akan menyediakan sinergi yang lebih besar untuk kemampanan perniagaan melalui pengembangan pangkalan pelanggan dalam industri pembuatan ketepatan," ujarnya.

 

Syarikat itu juga menjelaskan pengambilalihan itu dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan dan pertumbuhan masa depan Kumpulan.

 

Allied Technologies Holdings juga berkata, melalui syarikat sasaran Kumpulan akan menyediakan jaminan keuntungan (asas Ebitda) sebanyak AS$4 juta setahun untuk dua tahun kewangan akan datang yang berakhir pada 31 Mac 2026 dan 2027.- DagangNews.com