KUALA LUMPUR 17 Sept - Agrobank dengan kerjasama strategik Kementerian Pendidikan Malaysia melancarkan Program Agrobank Aquaculture Aspire bagi memperkasakan komuniti pelajar neurodiversiti.
Program itu melibatkan pelajar dari 10 sekolah Program Vokasional Menengah Atas (PMVA) Akuakultur dan Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) di seluruh negara.
Inisiatif itu dianjurkan selaras Dasar Sekuriti Makanan Negara 2021-2025, di mana Agrobank mempersiapkan generasi muda sebagai pelapis dalam mendepani cabaran industri agro dan pemangkin keterjaminan makanan negara.
Menurut Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank, Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin, program itu memberi manfaat kepada anggaran 100 pelajar neurodiversiti dengan peruntukan sebanyak RM110,000.00 bagi menjayakan program itu.
“ARC Berkat Agro Food Sdn Bhd (ARC) akan membekalkan benih Ikan Keli dan Tilapia serta set bioflok kepada sekolah-sekolah yang terlibat semasa pelaksaan program ini.
“Syarikat pembekal akan memberikan bimbingan dan latihan dari segi penjagaan dan teknikal sistem bioflok di mana ikan-ikan ini akan mengambil masa dua hingga tiga bulan bagi mencapai kematangan sebelum ianya boleh dijadikan hasil jualan,” ujar beliau dalam kenyataan hari ini.
Mengenai teknologi bioflok, Agobank menjelaskan ia amat penting dalam usaha kelestarian alam menerusi pengurangan pertukaran air bagi sistem ternakan selain meningkatkan kualiti air dengan mewujudkan persekitaran yang lebih sihat dan selamat untuk pembenihan ikan.
Sementara itu, Agrobank komited dalam memastikan golongan pelajar neurodiversiti terus mendapat akses pendidikan yang sewajarnya serta dapat mengetengahkan keunikan individu tersebut.
Majlis ini dihadiri oleh Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank, Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin, Timbalan Pengarah Kanan Bahagian Pendidikan dan Latihan Teknikal Vokasional, Dr. Shah Jahan Assanarkutty dan Timbalan Pengarah Bahagian Pendidikan Khas, Kementerian Pendidikan Malaysia, Dr Mohd Anuar Abdullah. - DagangNews.com