Hentikan amalan surat sokongan politik, khianati agenda Melayu kata ABIM | DagangNews Skip to main content

Hentikan amalan surat sokongan politik, khianati agenda Melayu kata ABIM

 

SHAH ALAM 23 Ogos - Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) merujuk kepada surat sokongan dari Timbalan Menteri Pertahanan untuk melantik anaknya sebagai Ahli Lembaga Pengarah Dalam Pharmaniaga Berhad dan dipersetujui Menteri Pertahanan. Berita ini telah mendapat liputan meluas dalam kalangan rakyat.

Presiden ABIM, 
Muhammad Faisal Abdul Aziz berkata, pihaknya melihat ia adalah penerusan kepada pencemaran tindakan afirmatif dalam agenda mengangkat martabat orang Melayu, yang disandarkan pada Hak Istimewa Orang Melayu dan Bumiputera sepertimana termaktub dalam Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan.

 

abim
Muhammad Faisal Abdul Aziz


Menurutnya, ABIM menegaskan tindakan sebegini adalah petunjuk yang telah mengabsahkan bahawa agenda Melayu telah dimanipulasi untuk membentuk kelompok Melayu Elit dan kerangka feudal Melayu yang akhirnya tidak memberikan apa-apa keuntungan ataupun meningkatkan taraf ekonomi orang Melayu itu sendiri.

Katanya, 
ABIM menegaskan perkara ini telah mendapat kritikan sepertimana diutarakan Prof Diraja Ungku Aziz bila mana kuasa-kuasa tertentu seperti pemberian lesen dan pelantikan tertentu terbuka untuk disalah guna golongan Melayu tertentu maka ia akan merencatkan agenda meningkatkan taraf sosio-ekonomi Orang Melayu dan Bumiputera.

"A
tas dasar tersebut, ABIM menyelar tindakan tersebut kerana ia terus menjadi kesinambungan kepada kegagalan memartabat orang Melayu dan rakyat secara keseluruhan.

"Bahkan tindakan ini hanya  menyebabkan kelompok tertentu sahaja yang meraih peluang ekonomi secara semberono dan menafikan ruang serta potensi mobilisasi sosial dalam kalangan rakyat untuk mencapai tahap hidup yang lebih baik,'' katanya dalam kenyataan di sini hari ini. - DagangNews.com