Hess dan Petronas setuju pinda perjanjian jualan gas huluan | DagangNews Skip to main content

Hess dan Petronas setuju pinda perjanjian jualan gas huluan

 

KUALA LUMPUR 7 Jun – Hess Malaysia bersama rakan kongsinya Petronas Carigali Sdn. Bhd. mengumumkan telah berjaya mencapai persetujuan dalam rundingan dengan Petronas untuk meminda Perjanjian Penjualan Gas Huluan (UGSA).

 

Pindaan itu adalah bagi Kontrak Perkongsian Pengeluaran (PSC) PM302 untuk memasukkan penjualan dan pembelian gas yang dihasilkan dari lapangan Kangsar serta gas yang dihasilkan dari mana-mana lapangan PSC PM325 pada masa depan di bawah syarat UGSA sedia ada.

 

UGSA mengawal penjualan dan penghantaran gas dari projek Lembangan Melayu Utara (LMU) kepada Petronas dan membantu memenuhi komitmen pembekalan dan penjualannya di Semenanjung Malaysia.

 

Menurut Zhiyong Zhao, Naib Presiden Hess Asia, pindaan ke atas UGSA itu adalah tonggak penting untuk pembangunan berterusan projek LMU.

 

"Pindaan UGSA ini memberikan capaian kepada bekalan gas baharu yang penting untuk kemakmuran ekonomi serta keselamatan tenaga negara.

 

"Ia mengukuhkan kedudukan Hess Malaysia sebagai pembekal gas asli utama negara dan memanfaatkan kerjasama jangka panjang di antara Hess, Petronas dan rakyat Malaysia. Kami berharap akan dapat meneruskan kerjasama ini dalam usaha untuk terus mambangunkan projek Lembangan Melayu Utara,” katanya.

 

Lapangan gas asli Kangsar yang terletak di luar pesisir Semenanjung Malaysia ditemui pada tahun 2018 dan merupakan sebahagian daripada pembangunan LMU Fasa 4A yang dipersetujui baru-baru ini di mana gas pertama disasarkan pada suku ketiga 2022.

 

Hess Malaysia dan Petronas Carigali Sdn. Bhd. telah menandatangani Heads of Agreement tahun lalu untuk menyatukan lapangan tersebut bagi tujuan pembangunan. Hess Malaysia kini dalam Fasa 2 pembangunan LMU.

 

Program mencari gali untuk Fasa 3 dijangka dimulakan pada suku ketiga tahun ini di mana gas pertama dirancang pada suku pertama 2022.

 

Projek LMU yang terdiri daripada PSC PM302 dan PM325 adalah aset gas asli jangka panjang yang terdiri daripada sepuluh lapangan gas asli yang dijumpai dengan anggaran sumber boleh pulih kasar lebih daripada 1.5 trilion kaki padu gas asli dan lebih 20 juta tong kondensat.

 

Hess Malaysia, anak syarikat Hess Corporation, memiliki kepentingan 50% dalam projek LMU dan merupakan pengendali manakala selebihnya dipegang oleh Petronas Carigali Sdn. Bhd. - DagangNews.com