Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]
KUALA LUMPUR 8 Sept. - Hextar Global Berhad mengumumkan bahawa anak syarikat milik penuhnya, Hextar Chemicals Limited (HCL) yang diperbadankan di Kepulauan Virgin British pada 7 September 2021 telah melaksanakan pembubaran secara sukarela.
Pembubaran itu dikatakan sebagai sebahagian daripada langkah mengorganisasikan semula struktur kumpulan bagi memastikan kecekapan yang lebih baik, menurut makluman Hextar di Bursa Malaysia.
Sebagai rekod, HCL merupakan syarikat pemegangan pelaburan yang memiliki 100% kepentingan ekuiti di dalam Hextar Chemicals Group Sdn. Bhd. (HCGSB).
HCGSB pula memegang 100% kepentingan ekuiti di dalam Hextar Chemicals Sdn. Bhd. (HCSB) dan Hextar R&D International Sdn. Bhd. serta 50% pemilikan di dalam Hextar Unitop Sdn. Bhd.
Selepas langkah pembubaran HCL lengkap, HCGSB akan dimiliki sepenuhnya dan secara langsung oleh Hextar serta struktur pemilikan anak-anak syarikat yang lain akan kekal.
“HCL merupakan anak syarikat penuh Hextar dan tidak mempunyai perniagaan atau operasi memandangkan HCL merupakan syarikat pemegangan pelaburan dan ia tidak akan mendatangkan sebarang impak operasi ke atas kumpulan.
“Jumlah pelaburan di dalam HCL adalah RM596,794,275. Pembubaran sukarela HCL ini merupakan sebahagian daripada langkah mengorganisasi semula dalaman kumpulan untuk menyelaraskan struktur kumpulan bagi kecekapan yang lebih tinggi,” jelas Hextar.
Hextar mendedahkan pembubaran tersebut tidak akan mendatangkan impak material ke atas perolehan sesaham, aset bersih, penggearan dan pegangan saham oleh pemegang saham besar kumpulan bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2021.
Susulan daripada langkah itu juga, Hextar berhasrat untuk menerapkan Dasar Perakaunan Gabungan yang akan diguna pakai secara retrospektif. - DagangNews.com