Hironobu Yoshimura diumum MD, CEO baharu Honda Malaysia | DagangNews Skip to main content

Hironobu Yoshimura diumum MD, CEO baharu Honda Malaysia

Hironobu Yoshimura

PETALING JAYA 5 April – Honda Malaysia Sdn. Bhd. mengumumkan pelantikan Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif baharu, Hironobu Yoshimura yang menggantikan Madoka Chujo, berkuatkuasa 1 April 2022.

 

Yoshimura memiliki 34 tahun pengalaman luas di Honda dan telah membina kepakarannya dalam bidang Perancangan Korporat, Perancangan Perniagaan, Pemasaran dan Perkhidmatan Selepas Jualan.

 

Setelah memegang peranan penting di pelbagai negara termasuk Jepun, Thailand dan Pakistan, peranan terbarunya sebelum datang ke Malaysia ialah sebagai Presiden dan CEO Honda Atlas Cars (Pakistan) Limited.

 

Mengulas mengenai peranan baharunya di Honda Malaysia, Yoshimura berkata, beliau teruja untuk mengambil peranan baharu ini di Honda Malaysia. Negara yang unik dan pelbagai ini benar-benar pasaran yang penting di rantau Asia dan Oceania bagi Honda.

 

Menurutnya, peneraju Honda Malaysia sebelum ini telah membina jenama Honda untuk menjadi kejayaan seperti sekarang di Malaysia; sebagai pelopor dalam memperkenalkan teknologi termaju Honda di rantau ini, melancarkan model baharu yang menarik dan menerajui segmen Kenderaan Penumpang Bukan Nasional selama bertahun-tahun.

 

''Paling penting, Honda Malaysia telah tabah mengharungi dan mengatasi pelbagai cabaran selama ini. Saya berharap untuk menerajui Syarikat dalam persekitaran perniagaan pasca-pandemik dan menyumbang secara positif ke arah pertumbuhan syarikat,” kata Yoshimura.

 

Beliau berkata, menurut data terbaharu, tiga model Honda telah menduduki tempat No.1 dalam segmen masing-masing untuk suku pertama 2022 iaitu City, All-New City Hatchback dan All- Civic Baharu.


 

Chujo Maduko
                                      Madoka Chujo akan kembali ke Honda Motor Co., Ltd. di Jepun

 

 

CEO sebelum ini, Chujo menyertai Honda Malaysia pada April 2021. Sepanjang tempoh perkhidmatan beliau yang singkat tetapi luar biasa sebagai Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Honda Malaysia, beliau mencapai pencapaian yang ketara dalam pencapaian Syarikat.

 

Di bawah kepimpinan Chujo, Honda Malaysia terus mengekalkan kedudukan No. 1nya dalam Segmen Kenderaan Penumpang Bukan Nasional untuk kelapan tahun berturut-turut sejak 2014.

 

Beliau juga berjaya melancarkan dua model baharu yang menarik - Hatchback City serba baharu pada Disember 2021 dan Civic serba baharu pada Januari 2022.

 

Cik Chujo akan kembali ke Jepun untuk menyandang jawatan baharu di Honda Motor Co., Ltd. dalam Unit Penyeliaan Jualan Operasi Automobil, Bahagian Jualan. - DagangNews.com