HLIB jangka pengeluar tempatan terkesan dengan peraturan baharu EU terhadap cukai karbon | DagangNews Skip to main content

HLIB jangka pengeluar tempatan terkesan dengan peraturan baharu EU terhadap cukai karbon

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 10 Jan - Pengeluar tempatan dalam sektor intensif karbon dijangka terjejas sama ada secara langsung oleh cukai karbon atau secara tidak langsung melalui peningkatan persaingan perdagangan, berikutan peraturan baharu Kesatuan Eropah (EU) mengenai barangan import terpilih.

 

Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research berkata, pada Disember 2022, EU menetapkan mekanisme pelarasan sempadan karbon (CBAM) yang mengenakan cukai karbon ke atas barangan import terpilih dan dijangka berkuat kuasa mulai 2026.

 

Firma itu berkata, EU merupakan rakan dagangan ketiga terbesar Malaysia yang terdiri daripada kira-kira 9.5% daripada jumlah perdagangan Malaysia pada 2019 (sebelum pandemik COVID-19). 

 

Malaysia merupakan negara pengeksport bersih, dengan nilai eksportnya sebagai peratusan keluaran dalam negara kasar (KDNK) pada 68.8% dan jumlah perdagangan pada 130.6% daripada KDNK pada 2021.

 

Memetik kajian Sekretariat Komanwel, Malaysia mengeksport AS$769 juta (RM3.36 bilion) produk berkaitan CBAM ke EU pada 2019, yang bersamaan dengan kira-kira 3.5% daripada jumlah nilai eksport negara AS$22.1 bilion.

 

Komposisi produk berkaitan CBAM yang dieksport ke EU ialah besi dan keluli (73.4%), aluminium (23.5%), baja (1.9%) dan simen (1.2%).

 

Pembuat keluli Hiap Teck Venture Bhd di bawah liputan HLIB ('beli'; harga sasaran atau TP: 33 sen) tidak mengeksport produknya ke EU, manakala pengeluar aluminium Press Metal Aluminium Holdings Berhad ("pegang"; TP: RM4.54) mengeksport kira-kira 30% daripada produknya ke rantau ini.

 

Harga cukai karbon yang dikenakan akan mencerminkan cukai karbon ke atas barangan yang sama dalam Sistem Perdagangan Pelepasan EU (ETS).

 

Jika barangan yang diimport telah membayar harga karbon di negara lain, maka kos yang sepadan boleh digunakan untuk mengimbangi cukai karbon CBAM.

 

Langkah itu bertujuan untuk menyamakan kedudukan dan melindungi industri intensif karbon EU, yang terpaksa mematuhi peraturan karbon yang semakin ketat di rantau ini.

 

“Bergantung pada perbezaan harga karbon antara pengeluar bukan EU dan EU, ia mungkin menjadi tidak cekap kos atau tidak boleh dilaksanakan untuk dieksport ke yang kedua.

 

"Oleh itu, kami menganggap bahawa sesetengah pengeluar bukan EU ini mungkin cuba mengalihkan sebahagian daripada eksport mereka ke wilayah lain secara progresif, dengan cukai karbon rentas sempadan yang lebih rendah atau tiada," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma itu berkata, pengenalan Pasaran Karbon Sukarela oleh Bursa Malaysia adalah tepat pada masanya, kerana ini membolehkan pasaran meletakkan harga pada pelepasan karbon.

 

Katanya, harga itu akan menjadi penanda aras bagi korporat untuk membangunkan mekanisme penetapan harga karbon dalaman dalam perniagaan mereka. - DagangNews.com