HLIB kekalkan unjuran KDNK pada paras 3.8% bagi tahun ini | DagangNews Skip to main content

HLIB kekalkan unjuran KDNK pada paras 3.8% bagi tahun ini

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 12 Sept - Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research mengekalkan unjuran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada paras 3.8% bagi 2023.

 

Firma penyelidikan itu menjangkakan prestasi yang lebih baik daripada jangkaan dalam Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPI). 

 

Katanya, IPI mengukur tahap pengeluaran dan kapasiti dalam industri pembuatan, perlombongan, elektrik dan gas.

 

Indeks itu meningkat 0.7% pada Julai 2023 didorong oleh lantunan mendadak dalam pengeluaran perlombongan dan pertumbuhan berterusan dalam pengeluaran elektrik, walaupun dengan penurunan berterusan dalam pengeluaran pembuatan (-0.2% dari tahun ke tahun).

 

Pertumbuhan itu mengatasi jangkaan konsensus penurunan 0.2%.

 

"Pertumbuhan mungkin dapat direalisasikan menerusi aktiviti pelancongan yang lebih kukuh serta pemulihan dalam sektor elektrik dan elektronik (E&E) bagaimanapun ia dijangka perlahan dalam tempoh terdekat memandangkan persekitaran luar yang lemah," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Di peringkat global, Indeks Pengurus Pembelian (PMI) pembuatan global meningkat kepada 49.0 pada Ogos (Julai: 48.6), walaupun masih dalam paras penguncupan.

 

Dari segi bekalan, rantaian bekalan yang lebih lancar dan kerja yang tertunggak mengekalkan kerugian pada paras minimum. Bagaimanapun, pesanan baharu terus menurun, didorong oleh kemerosotan dalam aliran perdagangan global. - DagangNews.com