HLIB : Kewangan IJM Corp diunjur lebih rendah, penarafan saham WCT pula disemak turun | DagangNews Skip to main content

HLIB : Kewangan IJM Corp diunjur lebih rendah, penarafan saham WCT pula disemak turun

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 5 Okt. - Firma penyelidikan, HLIB Research membuat semak turun yang berbeza ke atas kewangan dan saham IJM Corporation Berhad serta WCT Holdings Berhad.

 

Dalam kalangan pemain industri pembinaan yang tersenarai di Bursa Malaysia, HLIB lebih memilih saham Sunway Construction Group Berhad berdasarkan kunci kira-kira kumpulan yang kukuh dan rekod prestasi industri yang luas, menurut penganalisisnya, Edwin Woo. 

 

“Kami menurunkan unjuran perolehan IJM Corp pada tahun kewangan 2022 (FY22)/FY23/FY24 masing-masing sebanyak -17.4%/-22.3%/-21.8% bagi mengambil kira pelupusan IJM Plantations Berhad dan penilaian semula margin untuk bahagian infrastruktur.

 

“Harga sasaran (TP) kami diturunkan kepada RM1.96 daripada RM2.18 selepas mengambil kira RM800 juta atau RM0.22 sesaham bagi hasil jualan perladangan, digunakan semula untuk pengurusan modal melalui dividen khas dan pembelian balik saham.

 

“(Dalam pada itu), kami menyemak turun saham WCT kepada ‘pegang’ daripada ‘beli’, susulan lonjakan harga sahamnya baru-baru ini, menokok 25% sejak Ogos,” kata Woo dalam satu nota penyelidikan hari ini.

 

Mengulas mengenai industri pembinaan secara keseluruhan, ujar Woo, kontrak domestik yang diberikan kepada syarikat kontraktor tersenarai menyusut 11% kepada RM4.1 bilion pada suku ketiga 2021 (3Q21) berbanding tempoh sama pada tahun lalu. 

 

Kebanyakan projek itu melibatkan kawasan di luar Lembah Klang yang telah beralih kepada fasa seterusnya di bawah Pelan Pemulihan Negara (PPN), sekali gus memudahkan pemulihan aliran kontrak, jelas Woo. 

 

Di sebalik penurunan tersebut, Woo melihat ia berbeza daripada unjuran awal firmanya sebelum ini yang menjangkakan prestasi merosot, sebaliknya kali ini dilihat lebih mendatar.

 

“Memasuki suku terakhir, kami menjangkakan pakej skim air Rasau akan menjadi satu-satunya projek besar dengan jangka masa yang jelas. Fasa 1 kontrak itu akan diberikan dalam dua peringkat iaitu pada November 2021 dan Januari 2022. 

 

“Selain daripada itu, perkembangan dalam projek besar seperti Pulau Pinang Selatan (PSI) dan Transit Aliran Massa 3 (MRT 3) sekali lagi tertangguh. Kami menantikan pengumuman Belanjawan 2022 untuk memastikan prospek aliran projek berimpak tinggi memasuki tahun 2022,” kata Woo lanjut.

 

Namun, memandangkan Belanjawan 2022 disediakan dengan kerjasama dua gabungan parti berlawanan, jelas Woo, ini menyuramkan prospek bagi pelancaran projek mega. 

 

Firma itu mengekalkan penarafan ‘neutral’ ke atas sektor tersebut. - DagangNews.com