KUALA LUMPUR 29 Sept - Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research berpandangan neutral terhadap langkah VS Industry Berhad mengambil alih pegangan tambahan 11% dalam HT Press Work Sdn. Bhd. kerana ia memerlukan masa bagi menghasilkan sumbangan bermakna.
Firma penyelidikan itu berkata, panduan pesanan keseluruhan syarikat kekal mendatar kecuali untuk Pelanggan Y.
Pelanggan Y merupakan pelanggan yang diraih oleh syarikat sebagai penerima manfaat daripada perang perdagangan AS-China.
“Rasional pengambilalihan itu (11% kepentingan dalam HTPW) adalah untuk memanfaatkan kepakaran HT Press Work bagi meningkatkan rantaian nilai kumpulan dalam bahagian reka bentuk dan fabrikasi alat dan cetakan, pemesinan dan kemasan permukaan.
"VS Industry akan meluaskan skop kerjanya untuk Pelanggan X ditambah pula dengan mendapatkan Pelanggan baharu W," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.
Kumpulan itu akan bertanggungjawab membekalkan bahagian komponen untuk Pelanggan W dan HT Press Work akan melakukan proses elektrolisis terhadap aluminium.
“Pelanggan baharu W ini dijangka menempah dalam RM100 juta untuk FY24.
"Walaupun ramalan jualan pesanan kecil awal, kami memahami bahawa sumbangan margin sepatutnya berada dalam julat yang lebih tinggi jika dibandingkan dengan pelanggan sedia ada,” katanya.
Pelanggan kumpulan itu yang berpangkalan di AS menyumbang RM780 juta pada FY23 dan dijangka meningkat kepada RM800 juta untuk FY24.
Bagi pembuat kopi, FY23 mencatatkan jualan RM500 juta dan ini dijangka meningkat kepada RM600 juta pada FY24.
Begitu juga bagi pelanggan pembersih kolam, pihak pengurusan mengunjurkan pendapatan meningkat sebanyak RM100 juta daripada RM300 juta pada FY23.
"Kami mengekalkan saranan 'pegang' dengan harga sasaran (TP) 99 sen sesaham," katanya. - DagangNews.com