HLIB positif terhadap rancangan UEM Sunrise bagi pengembangan fasa perindustrian baharu di Taman Teknologi Nusajaya | DagangNews Skip to main content

HLIB positif terhadap rancangan UEM Sunrise bagi pengembangan fasa perindustrian baharu di Taman Teknologi Nusajaya

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 16 Dis - Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research positif terhadap pemberian tanah oleh UEM Sunrise Berhad seluas 94.8 hektar kepada syarikat kerjasama milik syarikat itu dan Acendas pada harga RM289.2 juta bagi tujuan bagi pengembangan fasa perindustrian baharu di Taman Teknologi Nusajaya (NTP), Iskandar Puteri.

 

Firma itu berkata, kumpulan itu akan terus menikmati pendapatan yang diperoleh daripada syarikat kerjasama itu dengan ia akan memanfaatkan pengalaman serta kepakaran luas Capitaland dalam pembangunan taman perindustrian, termasuk pembangunan taman perindustrian di Singapura, China dan India.

 

Katanya, UEM Sunrise dan Ascendas menjalinkan kerjasama pada 2012 untuk membangunkan NTP pada 2014 dan pada waktu ini ia menempatkan banyak syarikat multinasional serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS) termasuk pusat data Telekom, Barnes Aerospace (AS) dan GKN Aerospace (UK).

 

"NTP juga terletak secara strategik berhampiran dengan pelabuhan dan lapangan terbang utama termasuk Pelabuhan Tanjung Lepas (5 minit pemanduan), Pelabuhan Jurong (28 minit pemanduan) dan lapangan terbang Senai (25 minit pemanduan).

 

"Kerjasama itu meraih pendapatan menerusi penjualan hartanah perindustrian (kilang terbina mengikut kesesuaian atau siap dibina), pendapatan sewa dan penjualan tanah industri (untuk pembeli yang mahukan tanah yang lebih besar seperti penjualan tanah kepada Telekom untuk penubuhan pusat datanya)," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Terdahulu, kumpulan itu menyuntik tanah pegangan bebas seluas 94.9 hektar di Johor ke dalam usaha samanya dengan CapitaLand Development of Singapore iaitu Nusajaya Tech Park Sdn. Bhd. (NTPSB) bagi pengembangan fasa perindustrian baharu di NTP.

 

Nusajaya Rise Sdn Bhd yang merupakan syarikat milik penuh tidak langsungnya telah menandatangani dua perjanjian jual beli dengan NTPSB, kerjasama milik penuh UEM Land Berhad dan unit tidak langsung CapitaLand Ascendas Land (Malaysia) Sdn. Bhd.

 

Tanah seluas 94.8 hektar terdiri daripada 27.4 hektar di Mukim Tanjung Kupang, terdiri daripada empat plot pertanian dan satu plot dengan bangunan didirikan, dan 67.5hektar di Mukim Pulai terdiri daripada empat lot tanah pertanian.

 

Firma itu mengekalkan saranan 'pegang' dengan harga sasaran (TP) tidak berubah 23 sen sesaham.

 

"Walaupun kami positif terhadap perkembangan ini, kami tetap berhati-hati terhadap prospek jangka pendek kumpulan kerana kami menjangkakan momentum jualan yang lemah disebabkan penangguhan pelancaran," katanya. - DagangNews.com