KUALA LUMPUR 27 Sept - Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research mengunjurkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) berkembang pada paras 4.8% bagi 2024 dan pada masa sama mengekalkan unjuran 3.8% bagi tahun ini.
Firma penyelidikan itu berkata, walaupun mereka meramalkan KDNK tahun ini pada paras 3.8% tetapi percaya ekonomi negara akan meraih semula momentum pada 2024 dengan unjuran 4.8%.
“Berikutan pertumbuhan yang lebih baik, kami membayangkan kadar dasar semalaman (OPR) meningkat kepada 3.25% pada 2024 berbanding 3% pada tahun ini," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.
Firma penyelidikan itu berkata, pihaknya membayangkan bahawa Bank Negara Malaysia (BNM) mengekalkan kadar OPR bagi baki 2023 tetapi dijangka meingkat kepada 3.25% pada tahun hadapan berdasarkan jangkaan pertumbuhan positif.
Mereka juga menjangkakan indeks harga pengguna menyederhana kepada 2.8% pada 2023 daripada 3.3% pada 2022 dan menurun lagi kepada 2.5% pada 2024 kesan daripada rasionalisasi subsidi.
Mengulas mengenai Bajet 2024, HLIB mengunjurkan defisit fiskal Malaysia terus mengukuh kepada 4.1% pada 2024, disokong oleh peningkatan dalam KDNK dan ketiadaan pembayaran balik bon 1Malaysia Development Berhad (2023: AS$3 bilion).
“Kerajaan dijangka memajukan pelan rasionalisasi subsidi bersasar, yang kami fikir akan memberi tumpuan kepada elektrik dan diesel, ia berpotensi menjimatkan perbelanjaan negara antara RM20 bilion dan RM25 bilion atau 1.1% hingga 1.3% daripada KDNK.
“Kerajaan akan memanfaatkan Sistem Pangkalan Data Pusat (PADU) yang dijangka siap pada Januari 2024, yang akan digunakan sebagai rujukan pusat untuk sasaran bantuan,” katanya.
Firma penyelidikan itu juga menjangkakan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) tidak mungkin diperkenalkan dalam Bajet 2024 memandangkan tekanan ke atas kos sara hidup.
Namun begitu, pengembangan dalam kutipan hasil pada 2024 masih dijangka melalui cukai keuntungan modal ke atas saham tidak tersenarai dan pendigitalan. - DagangNews.com