HLIB unjur perkembangan pendapatan Sunway dipacu pelbagai segmen peniagaan | DagangNews Skip to main content

HLIB unjur perkembangan pendapatan Sunway dipacu pelbagai segmen peniagaan

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 7 Sept - Sunway Berhad berjaya bangkit daripada kesan pandemik COVID-19 dengan pendapatan terasnya bagi 1HFY22 mengatasi purata dagangan harian untuk suku tahun kedua (SPLY) dan 1HFY19. 

 

Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research menjangkakan, perkembangan pendapatan kumpulan itu akan dipacu oleh beberapa perkara termasuk peluasan kapasiti terhadap pelaburan hartanahnya selain peningkatan kehadiran pelancong asing yang dilihat positif untuk hotel, taman tema, pusat beli-belah dan hospital.

 

Firma itu juga mengunjurkan sumbangan lebih baik daripada pembangunan hartanah dengan kebanyakan projek tempatan berada dalam fasa perkembangan yang sangat baik.

 

"Sejak pembukaan semula sempadan pada 1 April 2022, sektor penerbangan masih belum pulih dengan kurang 40% bilangan penerbangan berbanding sebelum pandemik.

 

"Berdasarkan jangkaan pemulihan lebih baik untuk kehadiran pelawat asing pada 2HFY22 dan ia akan memacu langkah pemulihan seterusnya untuk aset Sunway termasuk hotel, taman tema, pusat membeli-belah dan hospital," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma itu berkata, kumpulan itu menjangkakan prestasi lebih baik pada 2HFY22 untuk segmen penjagaan kesihatan dipacu oleh kehadiran pesakit luar negara.

 

Kumpulan itu juga berada di landasan tepat untuk membuka beberapa hospital baharu termasuk SMC Seberang Jaya dab SMC Sunway City Tower D pada penghujung 2022 dan awal 2023.

 

"SMC Velocity Fasa 2 dijangka siap pada 3QFY23 dengan penambahan 110 katil, mejadikan jumlah keselurhan 350 katil.

 

"Pada masa sama, SMC Damansara sedang dalam pembinaan (akan dibuka pada 1QFY24) dan SMC Ipoh (akan dibuka pada 4QFY24) selain SMC Kota Bharu (akan dibuka pada 4QFY25), Paya Terubong, Pulau Pinang and Sunway City Iskandar Puteri, Johor (selepas 2025)," katanya.

 

Firma itu mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran (TP) RM2.65.

 

Dengan kapasiti yang diperluaskan daripada pelaburan hartanahnya, pemulihan dalam kadar asing dan pengiktirafan yang lebih baik daripada pembangunan hartanahnya, firma itu menjangkakan peningkatan yang lebih tinggi dalam pertumbuhan pendapatannya. - DagangNews.com