KUALA LUMPUR 10 Sept. - Hong Leong MSIG Takaful Berhad (HLM Takaful) menambah baik HLM Takaful COVID-19 Complimentary Special Benefit Programme 2.0 bagi membolehkan lebih ramai para pelanggan menikmati kemudahan yang disediakan.
Di bawah program ini, pelanggan yang mempunyai pelan perubatan individu boleh menuntut pembayaran balik kos rawatan hospital sekiranya mereka dimasukkan ke hospital swasta untuk mendapatkan rawatan kritikal akibat daripada COVID-19.
Ketua Pegawai Eksekutif HLM Takaful, Mohd Asri Omar berkata, kini, para pelanggan boleh memilih untuk mendapatkan rawatan perubatan terbaik melalui hospital swasta panelnya bagi rawatan COVID-19 di bawah Kategori 3, 4 dan 5.
Malah, katanya, had RM 1 juta yang diperuntukkan untuk HLM Takaful COVID-19 Special Benefit Programme
2.0’ ini telah ditingkatkan agar lebih ramai pelanggan dapat menikmati manfaat tersebut sepanjang
tempoh kempen.
"Kami juga memahami bahawa COVID-19 boleh menjejaskan pelanggan kami dari segi kewangan, justeru, kami sentiasa sedia membantu dengan HLM Takaful Contribution Payment Relief Programme 3.0 kami.
"Pelanggan yang layak boleh menangguhkan sumbangan Takaful mereka selama 90 hari sambil mengekalkan perlindungan Takaful mereka," katanya dalam kenyataan hari ini.
Sebagai sokongan usaha vaksinasi COVID-19 di seluruh negara, HLM Takaful juga telah melanjutkan HLM Takaful Pro Vax Campaign sehingga 31 Disember 2021.
Tujuan kempen ini adalah untuk melindungi rakyat Malaysia dan Pemastautin Tetap berumur 18 tahun ke atas yang menetap di Malaysia daripada kemungkinan kesan sampingan yang mungkin timbul akibat vaksinasi dengan memberikan manfaat kemasukan ke hospital harian dan manfaat ihsan. - DagangNews.com