Honda Malaysia perkenal minyak enjin Gred SP untuk perlindungan, prestasi enjin optima | DagangNews Skip to main content

Honda Malaysia perkenal minyak enjin Gred SP untuk perlindungan, prestasi enjin optima

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
azan@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 28 Dis - Honda Malaysia memperkenalkan minyak enjin baharu Gred SP yang memberikan perlindungan dan prestasi enjin yang optima, khusus untuk pemilik kereta Honda.

 

Minyak enjin baharu itu membolehkan enjin Honda memberikan prestasi lebih stabil dan penjimatan bahan bakar di samping memanjangkan hayat enjin.

 

"Minyak enjin Gred SP akan menggantikan minyak enjin Gred SN sedia ada kecuali untuk SN 0W-30 sintetik penuh yang masih ditawarkan untuk kereta dengan enjin berprestasi tinggi seperti Civic Type R.

 

"Produk berkenaan sesuai untuk digunakan pada kebanyakan enjin petrol dan turbocas, penggunaan minyak hitam Gred SP itu diluluskan dan disyorkan oleh Honda Research & Development (R&D)," kata Honda Malaysia dalam satu kenyataan, hari ini. 

 

Minyak enjin baharu itu diformulasikan untuk memenuhi semua keperluan enjin Honda dan memenuhi piawaian terkini yang dikeluarkan oleh American Petroleum Institute (API).

 

Ia meningkatkan perlindungan terhadap pra-pencucuhan kelajuan rendah (LSPI), fenomena pembakaran tidak normal yang boleh menyebabkan kerosakan ketara pada enjin selain didatangkan dengan perlindungan kehausan rantai sawat pemasa.

 

Minyak itu juga memberikan perlindungan mendapan suhu tinggi yang lebih baik untuk omboh dan pengecas turbo selain menyediakan kawalan enapcemar dan perlindungan sistem kawalan pengeluaran karbon.

 

Untuk maklumat lanjut, kunjungi mana-mana 102 pengedar sah Honda seluruh negara atau hubungi talian 1-800-88-2020 atau layari www.honda.com.my atau memuat turun aplikasi HondaTouch. - DagangNews.com