Hong Leong Asset Management lancar dana ESG patuh syariah pertama, HL Global Shariah ESG Fund | DagangNews Skip to main content

Hong Leong Asset Management lancar dana ESG patuh syariah pertama, HL Global Shariah ESG Fund

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 9 Jan - Hong Leong Asset Management melancarkan dana Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) patuh syariah pertamanya yang dikenali sebagai HL Global Shariah ESG Fund.

 

Dana itu bertujuan menyediakan pelabur dengan pertumbuhan modal jangka sederhana hingga panjang dengan melabur dalam portfolio sekuriti patuh Syariah  global yang memberi fokus kepada kriteria ESG dalam proses pelaburannya.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Hong Leong Asset Management, Hoo See Kheng berkata, ia merupakan dana ESG kedua yang dilancarkan dalam tempoh sembilan bulan yang mencerminkan komitmen syarikat ke arah pelaburan mampan.

 

“Kami berbesar hati untuk melancarkan dana ESG patuh syariah pertama kami, HL Global Shariah ESG Fund bagi memenuhi permintaan serta minat yang semakin meningkat untuk pelaburan seumpama itu.

 

“Menggabungkan kekuatan antara pasukan pelaburan dalaman dan kepakaran pasukan penyelidik kami, dan selanjutnya ditanda aras terhadap Indeks Syariah ESG Global 1200 S&P, ini menunjukkan komitmen syarikat untuk memberikan pulangan yang mampan kepada pelabur kami sambil menyediakan peluang untuk menyelaraskan matlamat pelaburan mereka," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Hong Leong Islamic Asset Management,  Noor Aini Shaik Awab berkata, dana itu dilancarkan pada masa yang sesuai dengan kedua-dua ESG dan kewangan Islam adalah tema pelaburan.

 

"Adalah menggalakkan untuk memerhatikan bahawa pelabur hari ini mencari lebih daripada sekadar pulangan kewangan; mereka mempunyai visi yang jelas dan mahukan mekanisma pelaburan yang tidak menjejaskan alam sekitar dan nilai berasaskan kepercayaan.

 

"Dengan pelancaran HL Global Shariah ESG Fund, kami gembira kerana pelabur kini mempuyai peluang pelaburan baharu, beretika dan bermakna," katanya.

 

Hong Leong Islamic Asset Management merupakan pengurus dana luaran yang dilantik untuk HL Global Shariah ESG Fund.

 

Dana ini diagihkan melalui pejabat Hong Leong Asset Management dan pasukan agensi Hong Leong Asset Management di seluruh negara dan berharga RM1 seunit semasa tempoh tawaran permulaan (IOP) sehingga 29 Januari 2023. 

 

Pelaburan permulaan minimum ialah RM1,000 manakala tambahan minimum jumlah pelaburan ialah RM100. - DagangNews.com