Hong Leong Bank kini di Shopee Mall | DagangNews Skip to main content

Hong Leong Bank kini di Shopee Mall

Hong Leong Bank kini di Shopee Mall

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 8 Feb. - Hong Leong Bank (HLB) muncul sebagai bank pertama di Malaysia yang mempunyai penawaran platform e-dagang menerusi pelancaran gedung rasminya di Shopee Mall. 

 

Tawaran tersebut membolehkan pelanggan mendapatkan produk dan perkhidmatan perbankan di mana-mana, bila-bila masa tanpa perlu berkunjung ke cawangan fizikal.

 

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif HLB, Domenic Fuda berkata, gedung rasmi HLB merupakan sebahagian daripada perjalanan pihaknya untuk menyediakan sepenuhnya penyelesaian perbankan digital bagi memenuhi penggunaan digital yang semakin meningkat. 

 

"Pada Oktober lalu juga, HLB melancarkan proses baharu pembukaan akaun bank sepenuhnya secara digital pertama negara ini melalui aplikasi mudah alih 'Apply@HLB', yang menggunakan teknologi e-Kenali-Pelanggan-Anda (eKYC).

 

"Strategi digital-at-the-core Bank telah membantu memperbaharui pengalaman perbankan, membawa kami untuk memberi tumpuan terhadap trajektori pertumbuhan digital bagi menjadikan perbankan lebih mudah diakses dan meningkatkan pengalaman pelanggan.

 

"Kejayaan eKYC telah menubuhkan asas untuk kami meninjau peluang baharu dalam menawarkan perkhidmatan yang lebih baik kepada pelanggan melalui saluran digital sahaja," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

E-dagang mengalami peningkatan yang ketara terutamanya sepanjang tahun 2020. 

 

Shopee melaporkan 38 juta purata trafik kunjungan bulanan dan merupakan platform e-dagang yang paling dikunjungi di Malaysia. 

 

Perkara ini menjadikan e-dagang sebagai aspek pertumbuhan penting untuk HLB dalam meluaskan proposisi perbankan digitalnya.

 

Sementara itu, Pengarah Urusan Perkhidmatan Kewangan Peribadi HLB, Charles Sik memberitahu, penawaran produk perbankan melalui e-dagang merupakan satu perkembangan yang dijangkakan bagi pihaknya memandangkan pelanggan telah mengubah tingkah laku perbelanjaan mereka ke dalam talian.

 

"Kami teruja kerana dapat mewujudkan gedung rasmi di platform ini yang membolehkan pelanggan membuka akaun HLB tanpa berkunjung ke saluran kami yang lain. 
 

 

"Sebagai permulaan, kami akan menawarkan akaun bank. Jenis produk perbankan lain bakal ditawakan dalam masa terdekat," jelasnya. - DagangNews.com