Hubungan Malaysia, Indonesia turut mencakupi seni budaya seiring konsep MADANI | DagangNews Skip to main content

Hubungan Malaysia, Indonesia turut mencakupi seni budaya seiring konsep MADANI

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail hadir pada program 'Santai Bersama Anwar' sempena Sidang Kemuncak ASEAN 2023 Ke-43 dan Sidang-sidang Kemuncak Berkaitan di Jakarta pada 4 September 2023. - Foto BERNAMA
Oleh Mohd Iswandi Kasan Anuar

JAKARTA 5 Sept - Hubungan Malaysia dan Indonesia melangkaui bidang diplomatik dan ekonomi apabila ia turut mencakupi seni budaya seiring dengan konsep kerajaan MADANI, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

 

Perdana Menteri berkata selain hubungan dua hala diplomatik dengan pentadbiran Presiden Joko Widodo serta interaksi dengan pengusaha dan pelabur, pemerkasaan seni budaya turut diberi perhatian.

 

"Saya mendapatkan juga pengalaman mereka dan cadangan untuk tingkatkan hubungan dua hala, juga memperkasa seni budaya," katanya kepada media selepas menghadiri program bersama pempengaruh dan selebriti di sini malam ini, Bernama melaporkan.

 

Program 'Santai Bersama Anwar' dihadiri seniman, seniwati dan pempengaruh terkemuka Indonesia termasuk Mulan Jameelah, Maruli dan Bara Tampubolon, Kartika Putri, Habib Usman, Selvi Kitty serta Melly Goeslow selain artis Malaysia, Fazura.

 

Antara perkara yang dibincang pada pertemuan itu ialah usaha memperjuang nasib golongan artis, menjadikan seni budaya sebagai medium dakwah, kerjasama artis kedua-dua negara dan peranan mereka dalam menjaga hubungan harmonis dua negara.

 

Anwar tiba di sini petang tadi bagi menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN Ke-43 yang bermula esok hingga 7 September.

 

Beliau dijadual mengadakan beberapa pertemuan dua hala bersama Rakan Dialog ASEAN antaranya Australia, China, Jepun, India, Korea Selatan, Amerika Syarikat dan Kanada. - DagangNews.com