Idea berniaga guna mesin pengukir cincin | DagangNews Skip to main content

Idea berniaga guna mesin pengukir cincin

DARI MEJA EDITOR

Memperkenalkan ruangan IDEA DAGANG untuk anda yang memiliki idea-idea atau petua bernas dan unik untuk dikongsi bersama, bukan sahaja memberi peluang pekerjaan atau menambah pendapatan kepada orang ramai.

Edisi pertama ini kita bersama Zulfa Khairi, bekas jurutera berkelulusan Kejuruteraan Mekanikal dari Universiti Teknologi Malaysia dan kini aktif dalam kerja-kerja dakwah serta pertubuhan bukan kerajaan.

DagangNews pertama kali membaca catatan Zulfa di dalam Facebook semasa Perintah Kawalan Pergerakan masih giat berlangsung. Dan beliau dengan senang hati memberi keizinan untuk disiar pula di dalam DagangNews untuk kebaikan semua.

Atas dasar ingin mengekalkan keaslian penyaluran ilmu dan maklumat ini, DagangNews menyiarkan bahasa tulisan Zulfa sendiri sepenuhnya.

Pembaca DagangNews yang mahu berkongsi ilmu perniagaan seperti Zulfa, boleh hantar e-mel dengan tajuk IDEA DAGANG kepada editor@dagangnews.com
 

zulfa4
Mesin pengukir cincin yang boleh diguna menambah pendapatan pada era COVID-19 ini yang diguna dan disaran oleh Zulfa Khairi. - DagangNews.com


`Kisah' mesin pengukir

Ini mesin untuk mengukir cincin. Mesin ini saya beli sekitar 7-8 tahun lepas, pada harga hampir RM10,000. Harga sekarang berbelas-belas ribu. Kerjanya hanya buat ukiran pada cincin saja, pada benda lain (permukaan rata seperti kepingan logam, jam, pen), mesin ini tidak boleh buat, kena cari mesin lain. Mesin dikomputer sepenuhnya, boleh mengukir dalam tempoh 2-3 minit sahaja. Alhamdulillah mesin ini masih berfungsi dalam keadaan baik hingga ke hari ini.

Upah untuk servis mengukir ialah sekitar RM20-RM30 untuk sekali ukir. Kita ambil pukul rata RM25, jika sebulan dapat ukir kira-kira 20 bentuk cincin, dapatlah RM500 masuk ke poket kita. Lepas untuk sebulan belanja dapur. Tak sampai 2 tahun, boleh cover modal mesin.

Jika ada yang ditimpa musibah musim COVID-19 ini, diberhentikan kerja, terputus atau terkurang sumber pendapatan, tapi ada sedikit modal untuk berniaga, tapi tidak tahu nak bisnes apa, cuba buat sedikit carian (research) untuk buat bisnes yang berkaitan dengan servis / permesinan / pengeluaran.

Ini `lari sedikit’ dari bisnes yang sudah banyak orang buat.

zulfa2
Zulfa menunjukkan demonstrasi mengukir cincin
menggunakan mesin pengukir. - DagangNews.com


Tidak perlu yang terlalu rumit, cukup yang bersaiz atau skala kecil, boleh dibuat di rumah, macam mesin pengukir ini. Kalau ada yang tengah berfikir-fikir, bolehlah hubungi saya untuk sesi teh tarik di sekitar Seksyen 7 Shah Alam, InsyaAllah saya boleh bagi beberapa cadangan.

Sama juga, jika anda rasa nak tukar kereta baru yang perlukan wang pendahuluan RM20,000-RM30,000, cuba fikirkan sejenak. Tahan dulu. Beli aset yang mudah seperti mesin kecil, bela dia elok-elok, nanti bulan-bulan mesin itu boleh cover duit kereta anda. InsyaAllah.

Fikirkan sesuatu mesin yang boleh menambah nilai sesuatu item / produk, kita duduklah mencelah di pertengahan rantaian bekalan tersebut dan pastikan produk yang stabil permintaan dan bekalannya.

zulfa3
Cincin yang siap terukir. Lihat nama pada bahagian dalam
cincin juga. - DagangNews.com


Saya doakan semua yang diuji sumber pendapatannya ketika musim COVID-19 ini, akan dibukakan pintu rezeki seluas-luasnya. Tingkatkan taqwa kepada Allah, kerana Allah boleh kurniakan rezeki kepada hambaNya dari sumber yang tidak disangka-sangka. – DagangNews.com

Zulfa boleh dihubungi melalui e-mel zulfa.khairi@gmail.com