IHI Corp bekerjasama dengan Gentari Hydrogen untuk meneroka pengeluaran ammonia hijau, jualan di Malaysia | DagangNews Skip to main content

IHI Corp bekerjasama dengan Gentari Hydrogen untuk meneroka pengeluaran ammonia hijau, jualan di Malaysia

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 15 Dis - IHI Corporation menjalin kerjasama dengan Gentari Hydrogen Sdn. Bhd., anak syarikat Petroliam Nasional Berhad (Petronas), untuk meneroka pengeluaran dan penjualan ammonia hijau di Malaysia.

 

Syarikat itu telah memeterai memorandum persefahaman dengan Gentari Hydrogen untuk menilai kebolehlaksanaan memanfaatkan sumber suria Malaysia yang banyak bagimenghasilkan dan menjual ammonia hijau yang diperoleh daripada tenaga boleh diperbaharui.

 

Menerusi perjanjian itu, kedua-dua pihak akan mempertimbangkan model perniagaan untuk pengeluaran ammonia di Johor, Malaysia.

 

"Ini adalah tapak yang sesuai untuk penjanaan tenaga solar dengan ammonia hijau akan dihasilkan, digunakan secara domestik untuk penjanaan kuasa dan bekalan bahan api marin serta dieksport ke pasaran Jepun dan Asia.

 

"Pada masa ini, ammonia yang boleh didapati secara komersial yang berasal daripada bahan api fosil mengeluarkan karbon dioksida semasa pengeluaran. 

 

"Bagaimanapun, penggunaan ammonia hijau dalam segmen penggunaan akhir seperti penjanaan kuasa, bahan api marin dan bahan mentah untuk baja boleh mengekalkan pelepasan karbon dioksida sepanjang rantaian bekalan pada tahap yang rendah," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Teknologi untuk pengeluaran, penyimpanan dan pengangkutan ammonia hijau adalah sesuai dan boleh mempercepatkan penggunaan pasaran.

 

Kedua-dua pihak berhasrat untuk menunjukkan beberapa model aplikasi ammonia di Malaysia melalui penerokaan itu.

 

"Mereka akan membina rantaian bekalan ammonia bahan api untuk menangani peningkatan masa depan dalam permintaan bahan api bersih.

 

"Ia akan membantu mempercepatkan penggunaan bahan api ammonia dan menyumbang kepada kemampanan," katanya. - DagangNews.com