Impak Pemerkasa ke atas 7 sektor | DagangNews Skip to main content

Impak Pemerkasa ke atas 7 sektor

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 18 Mac - Hanya dalam tempoh tiga bulan bagi tahun 2021, kerajaan mengumumkan satu lagi pakej suntikan fiskal, Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (Pemerkasa) yang bertujuan melonjakkan pertumbuhan ekonomi, menyokong perniagaan dan meneruskan bantuan bersasar kepada rakyat dan sektor yang masih terkesan. 

 

Dengan suntikan fiskal baharu sebanyak RM11 bilion, Pemerkasa memperuntukkan nilai RM20 bilion yang dilihat mengutamakan kepada program subsidi dan bantuan tunai, berdasarkan pengumuman Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin petang semalam. 

 

Baca : PM umum 20 inisiatif di bawah Pemerkasa bernilai RM20 bilion

 

Merangkumi 20 inisiatif di bawah Pemerkasa, penganalisis dari dua firma penyelidikan, CGS-CIMB Research dan MIDF Research menggariskan impak-impak program itu ke atas tujug sektor berikut:

 

1) Perniagaan tani

 

Di bawah inisiatif ke-9, Muhyiddin mengumumkan peruntukan tambahan sebanyak RM20 juta dalam bentuk geran padanan bagi tujuan pembelian jentera kepada Koperasi Penanaman Sawit Mampan.

 

Bagi CGS-CIMB, langkah ini membawa impak yang agak positif untuk  menggalakkan pekebun kecil untuk menggunakan automasi dalam sektor minyak sawit sekali gus mengurangkan kebergantungan ke atas tenaga buruh.

 

Dalam masa sama, peruntukan itu akan terus mempergiat produktiviti pekerja dan pekebun kecil yang terlibat, menurut MIDF pula.

 

Ini juga akan menyelesaikan isu kekurangan tenaga buruh yang dihadapi oleh industri itu, di mana masih kekurangan 50,000 pekerja, tambah MIDF.

 

2) Automotif

 

Di bawah inisiatif ke-6, Muhyiddin memberitahu, kerajaan menawarkan pengecualian duti eksais 100% untuk motosikal pemasangan tempatan dengan kapasiti enjin 150cc dan ke bawah, mulai 1 April hingga 31 Disember 2021.

 

Kerajaan juga memperluaskan pembiayaan program TEKUN Mobilepreneur untuk membaik pulih atau membeli motosikal baharu dengan had sehingga RM10,000. 

 

CGS-CIMB melihat inisiatif berkenaan akan meningkatkan jumlah jualan motosikal pada tahun ini, sekali gus meletakkan DRB-Hicom dalam kedudukan untung kerana mempunyai kepentingan 70% dalam Motosikal Dan Enjin Nasional (MODENAS).

 

“...Tetapi, majoriti pasaran motosikal domestik didominasi oleh Yamaha dan Honda, dengan anggaran penguasaan pasaran lebih 60%,” kata CGS-CIMB.

 

Dalam masa sama, bantuan pembiayaan untuk pembelian van dan lori di bawah TEKUN-POS-preneur dijangka melonjakkan jualan kenderaan komersial (CV), kata MIDF.

 

Jelas firma penyelidikan itu, inisiatif tersebut masih positif buat pemain industri kenderaan yang turut menguasai segmen CV di mana termasuk UMW, MBM, Hino Motors Manufacturing (Malaysia), Hino & Daihatsu dan Tan Chong.

 

3) Penerbangan

 

Bagi CGS-CIMB, kenyataan kerajaan untuk mengizinkan perjalanan rentas negeri dan antarabangsa apabila 'sebilangan besar' rakyat Malaysia telah divaksinasi, menunjukkan bahawa ‘keperitan’ yang ditanggung oleh syarikat penerbangan dan lapangan terbang mungkin berlanjutan untuk beberapa tempoh lagi.

 

Ini bermakna, industri perjalanan udara tidak boleh mengharapkan permulaan semula dengan pantas, walaupun dalam perjalanan domestik tambah CSG-CIMB.

 

Katanya, perjalanan domestik udara mungkin bermula secara beransur-ansur pada suku kedua 2021 (2Q21) dan seterusnya, tetapi perjalanan udara antarabangsa tidak dijangka bermula 4Q21.

 

Namun, MIDF melihat pengumuman kerajaan untuk mempercepat program vaksinasi bagi mencapai imuniti kelompok pada Disember 2021 merupakan perkara positif buat sektor berkenaan.

 

Tambahan pula, kerajaan dan perniagaan lebih mahir dalam menangani penularan virus, justeru, MIDF percaya aspek peraturan yang menghalang perjalanan udara secara beransur-ansur akan mereda dan berpotensi seawal separuh kedua 2021 (2H21).

 

4) Perbankan dan kewangan

 

Peruntukan tambahan sebanyak RM500 juta untuk kredit mikro tidak akan akan memberi kesan yang signifikan kepada bank memandangkan nilai pembiayaan tambahan yang kecil, menurut CGS-CIMB.

 

Dalam masa sama, penambahbaikan peraturan pasaran ekuiti juga akan meningkatkan aktiviti kutipan dana di mana meningkatkan pendapatan yuran oleh bank-bank seperti Maybank dan RHB Bank, kata CGS-CIMB lagi.

 

Bagi pandangan MIDF pula, impak Pemerkasa ke atas sektor perbankan secara tidak langsung, datang daripada impak program berkenaan ke atas ekonomi. 

 

Firma penyelidikan itu percaya perbankan akan menjadi salah satu sektor yang menerima manfaat, sekiranya pakej suntikan tambahan itu memperkukuh pemulihan ekonomi, di mana akan menyokong kualiti aset bank.

 

5) Pembinaan

 

Apabila peruntukan untuk projek berskala kecil dipertingkatkan, ini sekali gus memberi impak positif kepada kontraktor kecil, tetapi tiada impak terhadap pemain industri besar, itu pandangan CGS-CIMB. 

 

CGS-CIMB percaya EITA akan menerima manfaat daripada perancangan kerajaan untuk menggantikan lif di projek-projek perumahan awam.

 

Dari sisi lain, MIDF melihat hasrat kerajaan untuk mencapai imuniti kelompok menjelang Disember 2021 akan membawa impak positif kepada sektor pembinaan di mana sekatan pergerakan dan prosedur operasi standard (SOP) akan lebih dilonggarkan. 

 

Impaknya akan membolehkan kemasukan kapasiti pekerja yang lebih besar di tapak pembinaan selain waktu bekerja yang lebih panjang, jelas MIDF.

 

“Tambahan pakej rangsangan itu juga mungkin menunjukkan komitmen kerajaan untuk merancakkan pemulihan ekonomi dan salah satu kaedah pantas, dengan mempercepatkan projek infrastruktur awam mega,” ujar firma penyelidikan itu lanjut.

 

6) Telekomunikasi

 

CGS-CIMB melihat inisiatif di bawah Pemerkasa termasuk subsidi telefon tidak memberi impak besar ke atas sektor telekomunikasi. 

 

Bagi firma penyelidikan itu, margin jualan peranti adalah kecil dan peningkatan jumlah peranti tidak mungkin menyebabkan lonjakan pelanggan yang besar kerana penembusannya sudah tinggi.

 

Dalam erti kata lain, CGS-CIMB menjangkakan peranti itu mungkin digunakan sebagai titik panas (hotspot) di luar talian jika digunakan untuk belajar dari rumah.

 

Berhubung subsidi telefon yang dinaikkan kepada RM300, MIDF mengakui bahawa firma penyelidikan itu tidak pasti mengenai cara pembahagiannya di antara syarikat telekomunikasi.

 

“Namun, ini akan menyumbang secara positif ke atas hasil perkhidmatan mudah alih dan peranti syarikat telekomunikasi.

 

“Tetapi, dengan galakan untuk tambahan data percuma, syarikat telekomunikasi akan kehilangan peluang untuk memperoleh hasil dari data. Dalam masa sama, mereka juga perlu memberi subsidi telefon mudah alih juga,” tambah MIDF.

 

7) Utiliti

 

Di bawah inisiatif ke-8, Muhyiddin mengumumkan lanjutan diskaun khas bil elektrik sebanyak 10% untuk membantu aliran tunai dan mengurangkan kos perniagaan pengendali hotel, taman tema, pusat konvensyen, pusat membeli belah, pejabat syarikat penerbangan tempatan dan agensi pengembaraan dan pelancongan. 

 

CGS-CIMB difahamkan, sumbangan Tenaga Nasional Berhad (TNB) akan terhad kepada maksimum 10% daripada jumlah diskaun, di mana bernilai RM13.5 juta. 

 

Oleh itu, CGS-CIMB percaya impaknya tidak signifikan ke atas perolehan tahun kewangan 2021 (FY21) TNB iaitu dianggarkan RM5 bilion.

 

Dalam pada itu, MIDF menjangkakan sumbangan oleh TNB itu mewakili 0.3% margin daripada ramalan keuntungan bersih FY21 yang dibuat firma penyelidikan itu, sebanyak RM4.4 bilion. 

 

Ini sebahagiannya akan mengurangkan risiko oleh TNB memandangkan kerajaan secara dasarnya mengambil alih tugas untuk membayar bagi pelanggan bermasalah, kata MIDF.

 

Sementara itu, pengumuman MySDG, Sukuk Lestari dan skim pembiayaan RM200 juta yang termasuk penggunaan teknologi hijau di bawah MIDF merupakan impak positif terhadap pemain sektor tenaga boleh diperbaharui. - DagangNews.com