Indeks Pengeluaran Perindustrian Jun naik 26.2% | DagangNews Skip to main content

Indeks Pengeluaran Perindustrian Jun naik 26.2%

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 7 Ogos - Indeks Pengeluaran Perindustrian Malaysia (IPP) meningkat 26.2% pada Jun 2020 berbanding Mei. 

Ini adalah ekoran kelulusan aktiviti ekonomi yang lebih banyak dibuka oleh kerajaan semenjak Mei 2020.

Ketua Perangkawan, Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), Datuk Seri Mohd. Uzir Mahidin berkata, berdasarkan perbandingan bulan ke bulan, peningkatan IPP pada Jun 2020 didorong oleh kenaikan dalam kesemua indeks pembuatan (36.8%), perlombongan (2.4%) dan indeks elektrik (0.2%).  

 

Mohd Uzir
Mohd. Uzir Mahidin

 

Bagaimanapun, bagi perubahan tahun ke tahun, IPP menyusut 0.4% pada Jun 2020 berbanding tempoh sama pada tahun lalu. 

“Penguncupan IPP pada bulan Jun 2020 berbanding tahun lalu disebabkan oleh penurunan dalam indeks perlombongan (-17.1%) dan elektrik (-2.4%). 

“Sementara itu, indeks pembuatan mencatatkan peningkatan sebanyak 4.7%,” kata beliau menerusi laporan data Indeks Pengeluaran Perindustrian, Malaysia Jun 2020 hari ini. 

Data perindustrian

 

Dalam pada itu, output sektor pembuatan meningkat 4.7% pada Jun 2020 selepas mencatatkan penurunan 22.6% pada Mei 2020. 

Subsektor utama yang menyumbang kepada kenaikan sektor itu adalah produk peralatan elektrik dan elektronik (13.2%), produk makanan, minuman dan tembakau (10.5%) dan kelengkapan pengangkutan dan pembuatan lain (10.7%). 

“Output sektor perlombongan menguncup 17.1% pada bulan Jun 2020 berbanding tempoh yang sama pada tahun sebelumnya. 

“Pertumbuhan negatif itu disebabkan oleh penurunan dalam indeks gas asli (-13.5%) serta minyak mentah dan kondensat (-21.1%),” tambah Mohd. Uzir.

Sementara itu, output sektor elektrik pula menguncup 2.4% pada bulan Jun 2020 berbanding bulan yang sama pada tahun sebelumnya.

 IPP bagi suku kedua 2020 merekodkan penyusutan ketara, 17.9% berbanding dengan tempoh yang sama tahun sebelumnya.

Penurunan ini  disebabkan oleh kemerosotan dalam kesemua indeks perlombongan (-19.6%), pembuatan (-18.1%) dan elektrik (-10.8%). - DagangNews.com