KUALA LUMPUR 9 Nov - Indeks volum perdagangan borong dan runcit mencatatkan pertumbuhan 25.9% untuk mencapai 144.5 mata pada suku ketiga 2022 berbanding suku tahun yang sama pada tahun lepas, kata Jabatan Perangkaan Malaysia (DoSM).
Dalam satu kenyataan, jabatan itu berkata pertumbuhan positif direkodkan oleh semua subsektor iaitu kenderaan bermotor (142.4%), perdagangan runcit (26.9%) dan perdagangan borong (7.1%).
“Pada perbandingan suku ke suku, indeks volum juga meningkat 1.6% pada 3QFY22.
“Bagi indeks volum pelarasan musim, perdagangan borong dan runcit menurun 2.1% berbanding suku tahun kedua 2022,” katanya, lapor Bernama.
Sementara itu, bagi prestasi mengikut subsektor, pertumbuhan 7.1% bagi indeks volum perdagangan borong pada suku tahun ketiga 2022 didorong oleh jualan borong barangan isi rumah dengan 24.3%, diikuti oleh jualan borong berdasarkan kontrak atau yuran dengan 15.4%.
Bagi perbandingan suku tahunan, indeks volum perdagangan borong meningkat 0.5%.
Pertumbuhan positif sebanyak 29.6% dalam perdagangan runcit disumbangkan oleh jualan runcit di kedai khusus yang menjual bahan api kenderaan (51.7%), jualan runcit di kedai khusus yang menjual barangan lain (43.6%) dan jualan runcit di kedai bukan pengkhususan (32.3%).
Bagi perbandingan suku tahun ke suku tahun, indeks volum subsektor ini meningkat 2.9%.
Peningkatan 142.4% tahun ke tahun dalam indeks volum kenderaan bermotor disokong oleh jualan, penyelenggaraan dan pembaikan motosikal dan jualan komponen serta aksesori kenderaan bermotor yang meningkat masing-masing 212.9% dan 166.2%.
Bagi prestasi subsektor in berbanding suku tahun sebelum, ia meningkat 0.9%.
Dalam pada itu, DoSM berkata nilai jualan perdagangan borong dan runcit merekodkan RM134.0 bilion pada bulan September 2022, catat pertumbuhan 23.9% tahun ke tahun.
“Peningkatan itu disumbangkan oleh subsektor perdagangan runcit yang meningkat RM13.3 bilion atau 30.0% kepada RM57.7 bilion.
“Perdagangan borong juga berkembang 13.3% atau RM7.1 bilion kepada RM60.0 bilion, manakala kenderaan bermotor menokok 51.0% atau RM5.5 bilion kepada RM16.3 bilion,” katanya.
Bagi perbandingan bulan ke bulan, nilai jualan perdagangan borong dan runcit meningkat 0.3% disumbangkan oleh subsektor perdagangan runcit yang naik 1.2%.
Bagi prestasi mengikut subsektor, pertumbuhan subsektor perdagangan runcit sebanyak 30.0% pada September 2022 disokong oleh jualan runcit di kedai bukan pengkhususan yang meningkat 31.9% atau RM5.2 bilion kepada RM21.3 bilion.
Turut mencatatkan pertumbuhan positif, kumpulan lain dalam subsektor ini iaitu jualan runcit di kedai pengkhususan (43.4%), jualan runcit bahan api kenderaan (44.4%), dan jualan runcit barangan isi rumah (23.1%).
Pertumbuhan 13.3%dalam subsektor perdagangan borong bulan ini disumbangkan oleh lain-lain pengkhususan jualan borong yang meningkat 13.9% atau RM2.8 bilion kepada RM23.2 bilion.
Ini diikuti oleh jualan borong barangan isi rumah, jual borong bahan mentah pertanian dan haiwan hidup, dan jualan borong jentera, peralatan dan bekalan masing-masing sebanyak 21.9%, 16.0% dan 11.1%.
Kenaikan 51.0% bagi subsektor kenderaan bermotor disumbangkan oleh jualan kenderaan bermotor dengan 40.2%.
Kumpulan lain yang menyumbang kepada peningkatan ini ialah jualan alat ganti dan aksesori kenderaan bermotor (65.8%), penyelenggaraan dan pembaikan kenderaan bermotor (80.2%), dan jualan, penyelenggaraan dan pembaikan motosikal (53.3%).
Bagi indeks volum, perdagangan borong dan runcit bagi mencatatkan pertumbuhan tahun ke tahun sebanyak 18.4%, yang disumbangkan oleh kenderaan bermotor dan perdagangan runcit yang meningkat masing-masing 43.9% dan 27.1%.
Perdagangan borong juga mencatatkan pertumbuhan positif 3.5%. Walau bagaimanapun bagi indeks volum pelarasan musim, ia turun 2.0% bulan ke bulan. - DagangNews.com