KUALA LUMPUR 11 Mac - Penggiat industri bahan binaan Malaysia terus bergelut dengan inventori kos tinggi dan kelemahan purata harga jualan (ASP) berikutan sektor keluli global lembap, yang mengakibatkan pendapatan syarikat menurun berbanding jangkaan pada suku keempat 2023, menurut Kenanga Research.
Kekal dengan pendirian 'neutral' terhadap sektor bahan binaan, firma penyelidikan itu berkata, hanya Press Metal Aluminium Holdings Bhd (outperform, harga sasaran [TP]: RM4.90) memenuhi jangkaan pada suku keempat 2023, disokong ASP lebih tinggi, manakala prestasi Engtex Group Berhad, OM Holdings Ltd dan United U-LI Corporation Berhad mengecewakan ekoran inventori kos tinggi.
“Tiada sebarang peningkatan ketara dalam permintaan aluminium walaupun China membuka semula ekonominya dan kerajaan negara itu berusaha untuk menstabilkan pasaran hartanah.
“Bagaimanapun, harga aluminium dijangka kukuh ekoran kebimbangan alam sekitar yang semakin meningkat telah mendorong penutupan peleburan menggunakan bahan api fosil (terutamanya arang batu), serta sekatan Barat terhadap aluminium Rusia,” ulasnya dalam nota penyelidikan hari ini.
Kenanga Research berkata, harga aluminium London Metal Exchange (LME) setakat tahun ini berpurata pada AS$2,195 setiap tan metrik (MT), iaitu 1% lebih tinggi daripada AS$2,178/MT pada separuh kedua 2023.
Sementara itu, harga ferrosilikon (FeSi) setakat tahun ini berpurata pada AS$1,285/MT, iaitu 2% lebih rendah daripada AS$1,314/MT ketika separuh kedua tahun lalu manakala harga purata silicomangan (SiMn) sebanyak AS$910/MT adalah 2% lebih tinggi daripada AS$890/MT dalam separuh kedua tahun lalu.
“Permintaan global bagi kedua-dua keluli panjang dan rata pula kekal suram terutamanya disebabkan oleh krisis hutang hartanah yang berterusan di China. Lonjakan yang dinanti-nantikan dalam projek pembinaan dan infrastruktur berikutan pembukaan semula China gagal menjadi kenyataan.
“Lebih teruk lagi, pengeluaran keluli berlebihan melebihi 1 bilion tan pada 2023 dengan ketiadaan pengurangan pengeluaran kerajaan. Bagaimanapun, kami percaya harga keluli telah merosot,” tambahnya.
Dari sudut positif pula, Kenanga Research berkata Engtex akan didorong oleh permintaan lebih tinggi untuk paip air berikutan kenaikan tarif air, menggambarkan aliran tunai lebih kukuh pengendali air, membolehkan mereka memulakan program perbelanjaan modal mereka termasuk inisiatif pengurangan air bukan hasil (NRW).
“Ini akan menjadi tambahan kepada peruntukan yang besar untuk program penggantian paip di bawah Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMK-12). Permintaan terhadap paip air juga akan didorong oleh pembangunan Skim Bekalan Air Sungai Rasau Fasa 2 di Selangor,” ulasnya.
Pilihan utama firma penyelidikan berkenaan bagi sektor ini adalah OM Holdings (outperform, TP: RM1.80) memandangkan kelebihan struktur kos berbanding syarikat pesaing global disokong aksesnya kepada projek kuasa hidro kos rendah sehingga 2033 dan Engtex (outperform, TP: RM1.08) sebagai proksi kepada pemulihan projek air tempatan. - DagangNews.com