Industri digesa terapkan amalan ekonomi kitaran - MPC | DagangNews Skip to main content

Industri digesa terapkan amalan ekonomi kitaran - MPC

 

 

 

KUALA LUMPUR 27 Jan. -  Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) dalam kajian asas yang dijalankan mendapati hanya 10% responden tahu mengenai prinsip atau amalan ekonomi kitaran (CE).

 

Sebanyak 44.7 pula lagi masih berada dalam tahap kesedaran yang rendah. 

 

Lebih daripada 1,000 syarikat dari sektor pembuatan dijemput secara dalam talian untuk mengambil bahagian dalam kaji selidik ini, namun hanya 140 syarikat yang memberi maklum balas. 

 

Menurut MPC, kajian tersebut juga mengenalpasti inisiatif CE yang dijalankan oleh syarikat dalam tempoh 3 tahun terakhir. 

 

Hasil kajian menunjukkan usaha pengurangan sisa dilakukan melalui kitar semula, penggunaan semula atau penjualan sisa yang merupakan amalan sering dilakukan oleh syarikat-syarikat tersebut. 

 

Amalan lain yang dikenal pasti dan turut dijalankan berkaitan dengan perancangan semula penggunaan air, penggunaan sumber tenaga yang boleh diperbaharui, perancangan semula penggunaan sumber tenaga, merekabentuk semula produk dan perkhidmatan serta amalan perolehan hijau terhadap bahan mentah.

 

Sehubungan itu, Timbalan Ketua Pengarah MPC, Zahid Ismail menggesa supaya industri menerapkan amalan CE sebagai salah satu usaha ke arah pembangunan bersepadu bagi pertumbuhan ekonomi jangka masa panjang, perlindungan alam sekitar dan keterangkuman sosial.

 

Ini kerana, katanya, konsep CE melangkaui amalan yang berkaitan pengurusan sisa dan aktiviti kitar semula.

 

"Ia merupakan model ekonomi yang bertujuan menghasilkan barangan dan perkhidmatan secara lestari dengan mengurangkan penggunaan dan pembaziran sumber serta penghasilan sisa atau pengeluaran sampah. 

 

"Amalan ini membawa kepada perubahan sistematik yang membina ketahanan ekonomi bagi jangka masa panjang, menjana perniagaan baru dan membuka peluang ekonomi selain turut memberi manfaat kepada alam sekitar dan masyarakat," katanya dalam kenyataan.

 

Zahid memberitahu, MPC kini sedang membangunkan Business Sustainability Assessment (BSA) sebagai alat untuk membantu syarikat melakukan penilaian kendiri untuk menilai tahap kematangan syarikat dalam penggunaan sumber yang berkaitan dengan prestasi ekonomi, persekitaran, sosial dan teknologi.

 

Setiap dimensi dibahagikan kepada 5 kategori yang terdiri daripada 5 soalan kualitatif untuk setiap kategori.  Secara keseluruhan, terdapat 80 soalan yang merangkumi 4 dimensi. 

 

Pada masa ini, katanya, alat BSA masih berada di peringkat ujian rintis dan memerlukan semakan dan pengesahan oleh banyak pihak terutama pemain industri, ahli akademik, penilai dan juruaudit sebelum ia dapat digunakan.

 

"Kami memerlukan sokongan daripada pemain industri terutama dari sektor pembuatan untuk memberi maklum balas dan komen apabila dihubungi berkenaan ujian rintis alat BSA. 

 

"Instrumen ini terdiri daripada soalan kualitatif dan penilaian tahap kematangan berdasarkan ISO15504 di mana syarikat dinilai menggunakan skala dengan minimum 1 hingga maksimum 4," katanya.

 

Jelas beliau, pihak MPC merancang agar alat BSA dapat dibangunkan secara  sistem atas talian setelah ia dimuktamadkan supaya membolehkan ia diakses dengan mudah oleh syarikat untuk menjalankan penilaian. - DagangNews.com