KUALA LUMPUR 22 Mac - Pihak berkepentingan dalam sektor marin menggesa kerajaan menilai semula pelaksanaan cukai perkhidmatan 6% ke atas segmen penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih kapal (MRO) bagi melindungi industri marin tempatan.
Gesaan itu disuarakan oleh lima persatuan marin iaitu Persatuan Industri Marin Malaysia (Amim), Persatuan Pemilik Kapal Sokongan Luar Pesisir Malaysia (Mosva), Persatuan Pemilik Kapal Sabah dan Sarawak (SSSA), Persatuan Industri Maritim Sarawak (Samin) dan Persatuan Limbungan Kapal Sibu (SSA).
Presiden Persatuan Industri Marin Malaysia, Adren Siow berkata pengenalan cukai perkhidmatan menandakan peralihan yang ketara, "terutamanya dimanifestasikan sebagai peningkatan dalam kos operasi dalam industri marin yang sangat kompetitif".
“Kami difahamkan cukai perkhidmatan akan mempunyai kesan terkompaun melalui rantaian bekalan yang menyokong industri marin.
"Impak utama peraturan cukai baharu itu ialah jangkaan peningkatan kos operasi di seluruh industri,” katanya dalam satu kenyataan bersama.
Siow menekankan sebagai tindak balas kepada peningkatan kos operasi, adalah dijangka bahawa perniagaan akan menyemak semula strategi harga mereka.
"Ini kerana pelarasan itu adalah langkah perlu untuk memastikan kemampanan operasi, walaupun membawa kepada peningkatan dalam kos perkhidmatan pembaikan dan penyelenggaraan kapal.
"Perubahan sedemikian akan sentiasa menjejaskan semua pihak berkepentingan dalam rantaian bekalan." - DagangNews.com