Industri sarung tangan getah perlu lagi 25,000 pekerja | DagangNews Skip to main content

Industri sarung tangan getah perlu lagi 25,000 pekerja

 

 

KUALA LUMPUR 5 Feb. - Penularan COVID-19 memberi hikmah kepada sektor hiliran getah terutama industri sarung tangan getah. 

 

Ini menyaksikan eksport barangan getah Malaysia sepanjang tahun lalu meningkat 73.9% dengan sumbangan sebanyak RM40.97 bilion kepada pendapatan negara.

 

Sehubungan itu, permintaan yang tinggi terhadap sarung tangan getah menyebabkan lebih ramai pekerja diperlukan dalam sektor ini. 

 

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali berkata, anggaran yang dibuat Persatuan Pengeluar Sarung Tangan Getah Malaysia (MARGMA) menunjukkan industri ini
memerlukan sebanyak 34.7% atau 25,000 lagi pekerja baharu. 

 

"Bagi menyokong usaha ini, Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) melalui Majlis Getah Malaysia (MRC) menyediakan dana subsidi upah berjumlah RM36 juta. 

 

"Dana ini dapat membantu menggalakkan industri hiliran getah negara mengambil lebih ramai pekerja tempatan dalam industri tersebut," katanya dalam kenyataan hari ini. 

 

Peningkatan eksport ini didorong oleh permintaan tinggi oleh sektor perubatan dan kesihatan seluruh dunia, dalam usaha membendung penularan wabak COVID-19. 

 

Terkini, produk itu menyumbang hampir 90% kepada pendapatan eksport barangan getah negara, dengan sarung tangan Malaysia menguasai lebih 60% pasaran dunia.

 

Mohd. Khairuddin berkata, eksport ke Amerika Syarikat yang merupakan pasaran utama sarung tangan getah Malaysia telah meningkat hampir 84% daripada RM6.47 bilion pada 2019 kepada RM11.89 bilion pada 2020. 

 

"Pasaran utama lain bagi produk berkenaan turut mencatatkan peningkatan eksport yang memberangsangkan iaitu Jerman sebanyak 82%, Jepun (84%), United Kingdom (201%) dan China (146%)," katanya. 

 

Memandangkan prestasi sektor ini berkembang kukuh, beliau memberitahu, kementerian akan terus komited untuk memudah cara dan memantau operasi sektor industri sarung tangan getah untuk kekal beroperasi dan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). - DagangNews.com