BNM catat rizab antarabangsa tertinggi sebanyak AS$119.7 bilion pada akhir September 2024 | DagangNews Skip to main content

BNM catat rizab antarabangsa tertinggi sebanyak AS$119.7 bilion pada akhir September 2024

BNM mencatat rizab antarabangsa terkini berjumlah AS$119.7 bilion - Gambar NAIM AZIZ / DagangNews
Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 7 Okt - Malaysia terus membina rizab antarabangsa dan mengumpul simpanan terbesar dalam hampir sedekad pada 30 September 2024, menurut Bank Negara Malaysia (BNM).

 

BNM mencatat rizab antarabangsa terkini berjumlah AS$119.7 bilion. 

 

“Jumlah tersebut merupakan yang tertinggi sejak 15 Disember 2014, berbanding AS$117.6 bilion setakat 13 Sepember 2024. 

 

“Paras rizab telah mengambil kira perubahan penilaian semula pertukaran asing suku tahunan.

 

 

“Kedudukan rizab ini memadai untuk membiayai 4.8 bulan import barangan dan perkhidmatan, dan ialah 0.9 kali jumlah hutang luar negeri jangka pendek," katanya dalam satu kenyataan. 

 

Di samping itu, bank berpusat itu berkata, hutang luar negeri jangka pendek terdiri daripada pinjaman daripada bukan pemastautin dengan tempoh matang satu tahun atau kurang. 

 

“Kebanyakan hutang jangka pendek biasanya daripada pinjaman daripada bank bukan pemastautin untuk operasi mudah tunai mata wang asing mereka.

 

“Obligasi ini boleh dipenuhi dalam operasi biasa daripada pegangan aset luar mereka dan tidak menimbulkan sebarang tuntutan ke atas rizab antarabangsa BNM,” katanya. 

 

BNM mengeluarkan data rizab pertukaran asing setiap dua minggu.

 

Antara komponen utama, rizab mata wang asing meningkat kepada AS$106.8 bilion daripada AS$105.4 bilion pada pertengahan September, manakala kedudukan rizab di Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) meningkat kepada AS$1.3 bilion daripada AS$1.2 bilion.

 

Hak pengeluaran khas aset rizab yang dikekalkan oleh IMF berdasarkan sekumpulan mata wang juga lebih tinggi pada AS$5.9 bilion berbanding AS$5.7 bilion, manakala pegangan emas bernilai AS$3.3 bilion, berbanding AS$2.9 bilion setakat 13 September 2024.

 

Sementara itu, aset rizab lain kekal pada AS$2.4 bilion.- DagangNews.com