ITMAX terima kontrak pengurusan tempat letak kereta pintar kelima di Johor | DagangNews Skip to main content

ITMAX terima kontrak pengurusan tempat letak kereta pintar kelima di Johor

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 7 Okt - ITMAX System Bhd dilantik Majlis Perbandaran Muar (MPM) bagi mengendalikan 8,650 tempat letak kereta jalanan di daerah Muar, Johor menandakan kontrak kelima seumpamanya di negeri itu.

 

Kumpulan itu dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia berkata, kontrak 15 tahun itu menyaksikan anak syarikatnya, Southmax Sdn Bhd memperoleh 70% daripada hasil yang dijana daripada kutipan tempat letak kereta dan kompaun tempat letak kereta di bawah model perkongsian hasil, dengan MPM berhak mendapat baki 30%.

 

Katanya, pelaksanaan sistem letak kereta pintar itu akan bermula pada 1 Oktober 2024 di MPM.

 

"Bilangan tempat letak kereta akan bertambah apabila kawasan parkir itu diperluaskan dan lokasi akan ditentukan kemudian.

 

"Southmax bertanggungjawab ke atas kos pembangunan, pengurusan dan penyelenggaraan sistem parkir pintar serta peralatan dan papan tanda tempat letak kereta," katanya.

 

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, William Tan Wei Lun berkata, pihaknya teruja untuk mengumumkan kontrak kelima letak kereta pintar kelimanya di Johor iaitu Muar.

 

Katanya, komitmen kumpulan itu kekal teguh dalam memberikan pengalaman tempat letak kereta yang lancar untuk orang ramai, sambil memperkasakan majlis tempatan untuk meningkatkan kecekapan operasi melalui penyelesaian digital yang inovatif untuk bandar pintar.

 

"Pencapaian ini menandakan satu langkah yang menarik dalam misi kami untuk menyokong transformasi digital bandar, dan kami teruja untuk memperluaskan teknologi ini ke bandar lain di Johor, menyumbang kepada pembangunan persekitaran bandar yang lebih pintar dan lebih terhubung," katanya.

 

Selain Muar, ITMAX juga menerima kontrak mengendalikan tempat letak kereta di Iskandar Puteri, Kulai, Tangkak dan Segamat.

 

Kumpulan itu juga menjalankan pemasangan kamera keselamatan di Johor Bahru, Pasir Gudang dan Iskandar Puteri, serta di Kuala Lumpur untuk Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), yang mana ITMAX juga menerima kontrak untuk memasang lampu jalan. - DagangNews.com