Gemilang International dan syarikat mobiliti UAE, Al-Futtaim Auto & Machinery raih kontrak RM645 juta bekal bas kepada kerajaan Dubai | DagangNews Skip to main content

Gemilang International dan syarikat mobiliti UAE, Al-Futtaim Auto & Machinery raih kontrak RM645 juta bekal bas kepada kerajaan Dubai

Pengarah Urusan Gemilang (kiri, duduk), Pang Chong Yong dan Pengarah Urusan Al Futtaim Auto & Machinery Company (kanan, duduk), Ramez Hamdan pada majlis menandatangani kontrak, disaksikan Menteri Pengangkutan Malaysia, Anthony Loke Siew Fook (tengah , berdiri). (Berdiri di sebelah Loke) Pengarah Eksekutif Gemilang International (kiri), Pang Jun Jie dan Naib Presiden Volvo Buses Asia Pacific, Mats Nilsson.
Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 7 Okt - Gemilang International (GML) dan Al-Futtaim Auto & Machinery Company (FAMCO) menandatangani kontrak bernilai RM645 juta untuk membekalkan 76 bas dua tingkat jenama Volvo kepada Dubai Roads and Transport Authority (Dubai RTA) di Emiriah Arab Bersatu (UAE). 

 

Pengarah Eksekutif GML, Pang Jun Jie berkata, Dubai RTA telah menjalankan proses tender bagi projek tersebut pada awal tahun ini, dan GML serta FAMCO telah menghantar bidaan mereka pada bulan Mei 2024.

 

“Projek ini akan dimulakan pada bulan Oktober 2024 dan dijadualkan siap menjelang akhir 2025. 

 

“Penghantaran bas-bas ini dijangka memberikan sumbangan signifikan kepada sistem pengangkutan awam Dubai, sejajar dengan objektif kelestarian bandar tersebut,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

GML berkata, kerjasama tersebut akan memperkukuhkan kedudukannya dalam pasaran global dan dijangka meningkatkan pendapatan syarikat melalui perkongsian keuntungan sepanjang tempoh kontrak.

 

GML juga mengumumkan projek itu akan menampilkan teknologi inovatif dalam pembuatan bas dua tingkat, termasuk struktur aluminium yang direka khas untuk memastikan ketahanan dan prestasi yang tinggi.

 

Selain bas dua tingkat, GML juga akan membekalkan bas elektrik Volvo BZL kepada FAMCO, sekali gus menunjukkan komitmen GML terhadap pengangkutan lestari.

 

Penghantaran bas-bas ini akan menjadi sumbangan signifikan kepada landskap pengangkutan awam Dubai, selaras dengan objektif kelestarian bandar tersebut serta menyokong visi untuk masa depan yang lebih cekap dan hijau.

 

"Projek ini bukan sahaja akan meningkatkan kecekapan sistem pengangkutan awam Dubai, tetapi juga menyokong inisiatif pengangkutan hijau dengan kehadiran bas elektrik yang turut dibekalkan," kata Jun Jie.

 

Sementara itu, majlis menandatangani kontrak tersebut berlangsung pada Khamis lepas di Johor Bahru, disaksikan oleh Menteri Pengangkutan Malaysia, Anthony Loke Siew Fook.- DagangNews.com