Hibiscus Petroleum lengkapkan perolehan 30% pegangan blok penerokaan terbesar Semenanjung Malaysia | DagangNews Skip to main content

Hibiscus Petroleum lengkapkan perolehan 30% pegangan blok penerokaan terbesar Semenanjung Malaysia

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 7 Okt - Hibiscus Petroleum Bhd telah melengkapka perjanjian farm-in dengan Petronas Carigali Sdn Bhd bagi memperoleh 30% kepentingan penyertaan dalam kontrak perkongsian pengeluaran (PSC) PM327.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, unit milik penuh tidak langsungnya, Straits Hibiscus Sdn Bhd, telah menerima kelulusan peraturan daripada syarikat minyak nasional, Petronas, melalui Malaysia Petroleum Management (MPM).

 

"(Kelulusan peraturan) telah diperoleh dan syarat-syarat terdahulu telah dipenuhi pada 30 September 2024, sekali gus melengkapkan perjanjian farm-in," katanya tanpa mendedahkan nilai transaksi berkenaan.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Hibiscus peroleh 30% kepentingan penyertaan dalam PSC PM327, antara blok penerokaan terbesar di Semenanjung

 

Hibiscus pada 23 Ogos lalu mengumumkan rancangan untuk memperoleh 30 peratus kepentingan dalam PM327, blok penerokaan terbesar di luar pantai Semenanjung Malaysia, yang terletak di selatan Kawasan Pengaturan Komersial PM3 (PM3 CAA) di Lembangan Melayu Timur Laut, di luar pantai Malaysia dan Vietnam.

 

PM327 PSC meliputi kawasan seluas lebih 12,500 km persegi, dengan kedalaman air antara 20 meter dan 75 meter.

 

Sementara itu, aktiviti penerokaan telah dimulakan pada 2023, termasuk pemerolehan data seismik 3D baharu, pemprosesan semula data seismik sedia ada dan penggerudian berperingkat telaga penerokaan, kata Hibiscus sebelum ini.- DagangNews.com