Bakal disenarai di Pasaran Utama, Mega Fortris meterai perjanjian taja jamin IPO dengan RHB Investment dan AmInvestment  | DagangNews Skip to main content

Bakal disenarai di Pasaran Utama, Mega Fortris meterai perjanjian taja jamin IPO dengan RHB Investment dan AmInvestment 

(Dari kiri) Ketua Pasaran Modal Kumpulan & Penasihat, RHB Investment Bank Berhad, Jaimie Sia; Pengarah Urusan RHB Investment Bank Berhad, Kevin Davies;Pengarah Urusan Kumpulan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Mega Fortris Berhad, Datuk Adrian Ng;Pengerusi Bukan Eksekutif Bukan Bebas Mega Fortris Berhad,Datuk Nick Ng,Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif AmInvestment Bank Berhad,Christopher Ng;Ketua Pasaran Modal Ekuiti AmInvestment Bank Berhad, Leong Cheng Yuen
Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 7 Okt - Mega Fortris Berhad, pengeluar kunci keselamatan telah menandatangani perjanjian taja jamin dengan RHB Investment Bank Berhad dan AmInvestment Bank Berhad bersempena pelaksanaan tawaran awam permulaan (IPO) yang akan datang di Pasaran Utama Bursa Malaysia Securities Berhad.

 

IPO itu yang  melibatkan terbitan awam sebanyak 295.74 juta saham biasa baharu. 

 

Daripada jumlah itu, syarikat itu akan menawarkan 147.87 juta saham terbitan baharu, mewakili kira-kira 17.50% daripada modal saham syarikat yang diperbesarkan.


Syarikat itu berkata, 42.25 juta saham daripada jumlah saham terbitan akan diperuntukkan untuk permohonan oleh orang ramai di Malaysia melalui undian, di mana 21.13 juta saham khusus untuk pelabur Bumiputera. Selain itu, 25.35 saham akan dibuka untuk individu yang layak.

 

Sebanyak 38 juta saham akan diperuntukkan melalui penempatan persendirian kepada pelabur Bumiputera yang diluluskan oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), manakala baki 42.25 juta saham akan diperuntukkan kepada pelabur institusi dan terpilih.

 

IPO tersebut  juga merangkumi tawaran penjualan sehingga 147.87 juta saham sedia ada, di mana 80,273,000 saham akan diperuntukkan kepada pelabur institusi dan 67.6 juta saham kepada pelabur Bumiputera yang dikenalpasti oleh MITI.

 

Menurut Mega Fortris, hasil IPO itu akan digunakan bagi membiayai penubuhan kilang baru di United Kingdom (UK) dan usaha perniagaan baru di Macau, manakala selebihnya akan digunakan untuk kos penyenaraian.

 

Mega Fortris terlibat dalam pegangan pelaburan, reka bentuk dan pembuatan kunci keselamatan serta perdagangan produk berkaitan. Produk mereka termasuk kunci plastik, kunci kontena, kunci kabel, dan beg keselamatan, serta pelbagai produk berkaitan keselamatan lain seperti pita dan perisian penjejakan.

 

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Datuk Ng Meng Poh (Adrian), berkata perjanjian taja jamin daripada RHB Investment Bank dan AmInvestment Bank adalah adalah langkah strategik untuk mengembangkan perniagaan dan memperluaskan kehadirannya di pasaran antarabangsa. 

 

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif RHB Investment Bank, Kevin Davies berkata, kerjasama itu menekankan kepakarannya dalam menyampaikan perkhidmatan perbankan yang sesuai dan menyediakan rumusan yang sejajar dengan cita-cita strategik pelanggan.

 

“Mega Fortris telah membina reputasi yang kukuh dalam industri rumusan keselamatan dan kami yakin pencapaian ini akan melonjakkan mereka ke tahap baharu di peringkat global,” katanya. 

 

Sementara itu, Mega Fortris dijadualkan untuk disenaraikan pada suku keempat 2024, dengan RHB Investment Bank sebagai penasihat utama, penjamin bersama dan ejen penempatan untuk IPO itu.

 

Sementara itu, AmInvestment Bank berkhidmat sebagai penaja jamin bersama dan ejen penempatan bersama.- DagangNews.com