ECERDC realisasi pelaburan RM10.2 bilion, lepasi sasaran tahun 2024 di Pahang | DagangNews Skip to main content

ECERDC realisasi pelaburan RM10.2 bilion, lepasi sasaran tahun 2024 di Pahang

Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail (kanan) bersama Ahli Jawatankuasa Koordinasi Pelaksanaan ECER (ICC) semasa Mesyuarat ICC Pahang pada 7 Oktober 2024.
Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 7 Okt - Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) terus memacu pertumbuhan ekonomi di Pahang setelah melepasi sasaran pelaburan 2024 dengan merealisasikan pelaburan berjumlah RM10.2 bilion, mengatasi sasaran RM5.7 bilion untuk tahun ini. 

 

Secara keseluruhan, 80% dari pelaburan itu disumbangkan oleh sektor pembuatan diikuti oleh sektor minyak dan gas serta hartanah sekali gus menjana 3,342 peluang pekerjaan dan membuka 158 prospek keusahawanan. 

 

Kepelbagaian portfolio tersebut memperlihatkan usaha berterusan Pahang dalam memperkukuh sektor ekonominya sambil memanfaatkan kekuatan industri sedia ada.


 
Menteri Besar Pahang, Datuk Sri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, projek bekalan air antara negeri sepanjang 29 kilometer dari Kemaman, Terengganu ke Gebeng, Pahang yang siap, bakal menyokong keperluan industri di kawasan perindustrian sekitar sekali gus menarik lebih banyak pelaburan serta meningkatkan kecekapan operasi perniagaan di Gebeng.

 

"Tambahan pula Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang bakal beroperasi pada tahun 2027  dijangka meningkatkan hubungan darat, menjadikan Gebeng sebagai hab perindustrian yang  bersedia untuk pertumbuhan ekonomi yang lebih mampan," kata beliau dalam mesyuarat Jawatankuasa Pelaksanaan dan Penyelarasan (ICC) Pahang hari ini.

 

Tambahnya, Pahang komited dalam meningkatkan daya tarikannya kepada pelabur dan ECERDC memainkan peranan holistik dalam memudahcara pelaburan baharu dalam memastikan pelaburan dapat direalisasikan. 

 

Jelas Wan Rosdy, kerajaan negeri akan terus melaksanakan langkah-langkah proaktif untuk mempercepatkan proses pelaburan sekali gus memacu pertumbuhan industri yang memberi manfaat kepada rakyat Pahang.

 

Antara yang hadir dalam mesyuarat tersebut ialah anggota ICC Pahang termasuk Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, Datuk Sri Zulkifli Yaacob; Pengarah Pembangunan Negeri Pahang Datuk Fadzilla Salleh; Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan), Dato’ Ali Syahbana Sabaruddin; dan Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC, Datuk Baidzawi Che Mat.

 

Baidzawi pada masa sama menyifatkan, pihaknya komited untuk memperkukuh program latihan kemahiran baharu dan peningkatan kemahiran bagi memastikan tenaga kerja  tempatan memiliki kecekapan teknikal yang selaras dengan keperluan industri.

 

"Dalam usaha ECERDC untuk terus memacu pertumbuhan ekonomi di Pahang, inisiatif-inisiatif ini penting untuk meningkatkan kebolehpasaran tenaga kerja tempatan, sekali gus memenuhi  keperluan pelabur berpotensi yang mencari tenaga kerja yang mahir dan pantas menyesuaikan  diri. 

 

"Melalui program ini, bukan sahaja peluang pekerjaan yang mampan dapat diwujudkan, malah  ia berpotensi menarik lebih banyak pelaburan berkualiti tinggi ke negeri ini," katanya.

 

Beberapa projek infrastruktur dan industri utama lain sedang dilaksanakan di Pahang bagi  merangsang pertumbuhan ekonomi antaranya pembangunan Malaysia-China Kuantan Industrial Park (MCKIP) Fasa 3 dan dijangka siap pada 10 Julai 2025. 

 

Projek tersebut berpotensi menarik pelaburan sebanyak RM1.5 bilion menjelang tahun 2027.

 

Selain itu, projek menaiktaraf Bandar Diraja Pekan, termasuk pemulihan bangunan lama dan kawasan sekitarnya, dijadualkan siap pada 14 November 2024. 

 

Inisiatif terbabit dijangka meningkatkan aktiviti pelancongan dengan bilangan pengunjung ke Pekan dijangka mencapai sehingga 400,000 orang menjelang tahun 2025. 

 

Selain itu, ECERDC kini sedang menaik taraf Pusat Konservasi dan Informasi Penyu (TCIC) di Cherating, Pahang, yang dijangka siap pada April 2025 yang bertujuan meningkatkan kesedaran awam mengenai kepentingan pemuliharaan penyu dan mencapai sasaran seramai 120,000 pengunjung pada tahun 2025. - DagangNews.com