Inflasi makanan dijangka terus tinggi dipengaruhi ekonomi global - MIDF Research | DagangNews Skip to main content

Inflasi makanan dijangka terus tinggi dipengaruhi ekonomi global - MIDF Research

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 23 Dis - Tekanan inflasi di Malaysia akan terus dipengaruhi inflasi makanan yang lebih tinggi berikutan harga ekonomi global yang meningkat, demikian menurut MIDF Research.

 

Firma itu menjangkakan, pertumbuhan harga makanan meningkat 5.5% tahun ini yang juga disebabkan kejatuhan nilai ringgit.

 

Bagaimanapun, firma itu melihat inflasi makanan domestik akan terus menurun berikutan harga berkaitan pertanian dan rantaian bekalan yang bertambah baik di peringkat serantau dan domestik.

 

"Dengan tumpuan untuk menyelesaikan isu kos sara hidup, kami percaya inflasi makanan akan berkurangan sedikit bermula pada 1QCY23 disokong campur tangan kerajaan ke atas harga makanan terpilih.

 

"Kami juga menjangkakan ringgit akan meningkat kerana Rizab Persekutuan AS (FED) memberi isyarat untuk kenaikan kadar faedah yang lebih perlahan dari Disember 2022 dan seterusnya," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Bagi tempoh Januari-November 2022, inflasi meningkat 3.4% berbanding 2.3% bagi tempoh sama tahun sebelumnya. 

 

Bagaimanapun kadar inflasi kekal pada paras yang sama 4% pada Oktober 2022.

 

BACA JUGA: IHP kekal 4% pada November 2022 dengan inflasi makanan terus meningkat - DOSM

 

Berdasarkan perbandingan bulan ke bulan, kenaikan inflasi pada bulan tersebut meningkat kepada 0.3% berbanding 0.2% pada Oktober 2022. 

 

Inflasi kumpulan makanan yang meningkat 7.3% kekal menjadi penyumbang utama kepada kenaikan inflasi bulan ini. 

 

Firma itu berkata, inflasi yang didorong bekalan diunjur menurun, disokong jangkaan kenaikan nilai ringgit, harga makanan yang sederhana, tekanan rantaian bekalan global yang semakin menurun dan harga komoditi yang semakin normal.

 

Katanya, selepas Pilihan Raya Ke-15 (PRU15), tinjauan inflasi Malaysia adalah lebih jelas untuk tahun depan dengan jangkaan kerajaan perpaduan mengekalkan status quo mekanisme subsidi bahan api semasa.

 

"Oleh itu, inflasi diramalkan pada purata 2.3% untuk 2023," katanya. - DagangNews.com