KUALA LUMPUR 19 Okt. - Inisiatif 'Highway to a 100 Unicorn' digerakkan bagi memperkukuh kewujudan dan ekosistem syarikat pemula di negara ini dengan bimbingan serta kemajuan teknologi.
Inisiatif tersebut dilancarkan oleh Microsoft Malaysia yang turut berkerjasama dengan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) dan Pusat Inovasi dan Kreativiti Global Malaysia (MaGIC).
Dalam kenyataan bersama rakan kerjasama itu berkata, syarikat pemula yang layak berpeluang untuk menyertai bengkel perniagaan dan teknologi, serta sesi perkongsian bulanan yang dijalankan secara maya bersama dengan syarikat pemula kominiti global.
Pengarah Urusan Microsoft Malaysia, K Raman berkata, syarikat pemula tempatan berpotensi menjadi unicorn pada suatu masa sekali gus dapat membantu membentuk pemulihan ekonomi yang berdaya tahan dan membina masa hadapan yang lebih kuat.
Melalui inisiatif berkenaan, syarikat pemula di negera ini juga berpelung mendapatkan bimbingan intensif sepanjang tahun, akses kepada pelanggan serta peluang untuk berjumpa dengan pakar Microsoft dan pemimpin industri.
Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif MDEC, Surina Shukri berkata, Kuala Lumpur telah diiktiraf sebagai ekosistem syarikat pemula ke-11 di dunia oleh Startup Genome sekali gus menambah keyakinan untuk Malaysia menjadi tonggak kepada 'landasan dan pengembangan' pilihan terbaik pereka dan pemula teknologi di rantau ini.
"Sebagai penggerak kepada ekonomi digital negara, MDEC komited untuk membantu syarikat teknologi pemula dalam perjalanan dana mereka, pengembangan pasaran global dan jalinan kerjasama korporat untuk menjadikan Malaysia sebagai Heart of Digital Asean," ujarnya.
Bagi pihak MaGIC, Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dzuleira Abu Bakar berkata, inisiatif itu memberi ruang kepada pereka dan pengasas tempatan untuk bergerak dengan skala yang lebih besar melalui kolaborasi global.
"Kami bersama-sama rakan kongsi kami bersedia untuk membantu syarikat pemula yang ingin memperluas jangkauan perniagaan mereka," tambahnya.
Pendaftaran bagi inisiatif 'Highway to a 100 Unicorn' dibuka hingga 31 Oktober 2020. - DagangNews.com