Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
[email protected]
KUALA LUMPUR 12 Nov. - Institut Penyelidikan Reka Bentuk Taiwan (TDRI) mengumumkan perancangannya untuk meneroka kerjasama dengan syarikat-syarikat di Malaysia seiring dengan pelan pengembangan globalnya.
Usaha itu bertujuan untuk mengubah perspektif dunia terhadap Taiwan yang bukan hanya menjadi negara pengeluaran, malah terkenal dengan industri reka bentuk.
Presidennya, Chang Chi-Yi berkata, pihaknya sedang giat mendekati organisasi-organisai dan perniagaan di Malaysia untuk menjalin kerjasama dengan memperkenalkan keupayaan reka bentuk Taiwan.
“Dalam menuju ke matlamat TDRI bagi mewujudkan peneraju industri dalam kalangan perniagaan, serta menjadikan Taiwan sebagai pusat pembuatan atasan dan hab R&D berteknologi tinggi, kami bertekad memacu reka bentuk dan inovasi industri menerusi kuasa reka bentuk, selain menyokong penggunaanya dalam pelbagai bidang.
"Ini adalah untuk menghasilkan pengetahuan dan aplikasi reka bentuk yang ditambah nilai," jelasnya dalam satu kenyataan hari ini.
TDRI ditubuhkan pada tahun 2020 di Taiwan bagi memanfaatkan kekuatannya dalam reka bentuk, serta memacu pembangunan industri dan pertumbuhan ekonomi secara keseluruhannya.
Mengulas lanjut, beliau memberitahu, TDRI telah menganjurkan Sesi Pemadanan Perniagaan antara Taiwan dengan Malaysia sebagai inisiatif untuk merapatkan jurang komunikasi antara perniagaan dan reka bentuk, di samping menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi dan budaya tempatan.
Pada masa ini juga, beberapa syarikat reka bentuk Taiwan sedang bekerjasama dengan perniagaan-perniagaan di Malaysia untuk menaik taraf produk tempatan.
Syarikat-syarikat pengeluaran di Malaysia yang menerapkan idea reka bentuk dari Taiwan termasuk Reka Setia (penyedia peralatan taman permainan), Relax (pengeluar botol), dan Jia-Xin Food (pengeluar produk buah kering).
Ujar beliau lagi, selain program global, TDRI sentiasa mempromosikan reka bentuk di pasaran tempatan menerusi pelbagai inisiatif seperti kerjasama dengan Kementerian Pendidikan (MOE) Taiwan untuk memperkenalkan inisiatif “Campus Aesthetics Transformation” bagi memupuk nilai estetika sejak usia muda.
Selain itu, kerjasama dengan Ketua Pengarah Jalan Raya untuk menerapkan konsep reka bentuk ke dalam estetika lebuh raya bagi mewujudkan laluan bas yang paling indah di Taiwan turut dijalankan pihaknya.
"Kami berharap kerjasama dengan Malaysia akan mengukuhkan lagi hubungan dua hala negara dan menawarkan lebih peluang kepada warga Malaysia dan Taiwan," tambahnya. - DagangNews.com