InvestKL berjaya tarik empat syarikat multinasional wujudkan hab di Greater KL | DagangNews Skip to main content

InvestKL berjaya tarik empat syarikat multinasional wujudkan hab di Greater KL

KUALA LUMPUR 11 Nov - InvestKL berjaya menarik empat syarikat multinasional untuk mewujudkan hab dan pejabat perkhidmatan perniagaan di kawasan Greater Kuala Lumpur, mengukuhkan matlamat strategik untuk tempoh 10 tahun bagi menarik pelaburan sebanyak RM35 bilion.

 

Ketua Pegawai Eksekutif InvestKL Muhammad Azmi Zulkifli mengumumkan bahawa pengeluar dari Australia, The Arnott’s Group (TAG), Tupperware Brands Corp, syarikat pembangunan perisian senaraian awam Britain, Endava Plc dan Baxter Southeast Asia telah memilih Greater KL untuk mewujudkan hab dan pejabat perkhidmatan perniagaan.

 

“Prestasi ekonomi negara yang berdaya tahan selepas pandemik turut dapat dilihat daripada peningkatan pelaburan asing yang masuk, dengan lebih banyak syarikat global memutuskan untuk mewujudkan hab perkhidmatan global mereka di Greater KL pada tahun ini.

 

“Ini menjadi bukti kepada tarikan Malaysia yang berterusan dalam kalangan pelabur asing sebagai destinasi pelaburan pilihan berdasarkan asas negara yang kukuh, dasar yang mesra pelabur, infrastruktur yang baik dan kumpulan tenaga kerja yang dinamik,” katanya dalam kenyataan, lapor Bernama.

 

Pada separuh pertama 2022, InvestKL berjaya menarik RM1.68 bilion nilai pelaburan, mewujudkan 1,919 peluang pekerjaan eksekutif berkemahiran tinggi.

 

Antara syarikat yang mewujudkan hab dan pejabat perniagaan di Greater KL termasuk TAG yang menghasilkan jenama popular seperti Arnott's, Prego and Kimball.

 

Tupperware Brands juga memilih Greater KL untuk menubuhkan hab perkhidmatan perniagaan global pertama syarikat produk pengguna itu di rantau ini.

 

Selain itu, pejabat Tupperware di Malaysia juga akan menempatkan fungsi korporat serantau termasuk pemasaran, IT, kewangan, perundangan dan penjagaan pelanggan.

 

Syarikat pembangunan perisian tersenarai awam British Endava merupakan sebuah lagi MNC yang baru-baru ini mengumumkan rancangan untuk mengembangkan jejak operasi penghantarannya di Greater KL, menjadikannya pusat operasi penghantaran pertama syarikat itu di Asia Tenggara dan hab untuk pertumbuhan masa depan ke rantau ini.

 

Kehadiran MNC terkemuka ini dijangka membawa manfaat yang besar kepada landskap perniagaan Malaysia, khususnya dalam ekosistem penjagaan kesihatan dan pembangunan bakat. - DagangNews.com