IOI Corp catat prestasi kukuh, harga sahamnya melonjak pagi ini | DagangNews Skip to main content

IOI Corp catat prestasi kukuh, harga sahamnya melonjak pagi ini

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 25 Ogos - IOI Corp. Bhd. mendaki tangga kaunter paling untung pagi ini setelah merekodkan pretasi kukuh bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2021. 

 

Ia menyaksikan untung bersihnya melonjak kepada RM1.39 bilion berbanding RM600.90 juta yang dicatatkan pada tempoh yang sama tahun sebelumnya. Pendapatan meningkat kepada RM11.25 bilion daripada RM7.8 bilion.

 

Setakat 9.22 pagi, sahamnya menokok 9 sen atau 2.31% kepada RM3.98 dengan 408,400 saham diniagakan. 

 

Kumpulan perladangan itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia semalam memberitahu prestasi yang lebih baik kali ini disumbangkan oleh hasil yang lebih tinggi daripada semua segmen.

 

Susulan itu, MIDF Research tidak membuat sebarang perubahan bagi unjuran pendapatan seterusnya memandangkan prestasi tahun kewangan 2021 memenuhi jangkaannya. 

 

Ia mengekalkan unjuran pendapatan bagi tahun kewangan 2022 dan 2023 masing-masing pada RM1.113 bilion dan RM1.104 bilion. 

 

Menurutnya, segmen huluan dijangka terus bersinar memandangkan harga minyak sawit mentah dijangka kekal melebihi RM3,000 satu tan metrik sekurangnya-kurangnya sehingga suku ketiga 2021 disebabkan kekangan bekalan, permintaan eksport yang tinggi dan pengeluaran rendah. 

 

"Bagaimanapun, kami berhati-hati dengan prestasi segmen pengeluaran berasaskan sumber berikutan sumbangan sub-segmen oleokimia kumpulan yang lemah disebabkan harga minyak sawit dan isirung yang tinggi.  

 

"Bagi sub-segmen lemak pula, kami meramalkan prestasi syarikat sekutunya, Bunge Loders Croklaan Group B.V. akan meningkat pada suku akan datang memandangkan pembukaan semula aktiviti ekonomi dan permintaan yang lebih tinggi di Amerika Utara dan Eropah," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

Dengan mengambil kira semua faktor ini, MIDF Research mengekalkan saranan 'neutral' dengan harga sasaran pada RM5.08.

 

Sementara itu, AmInvestment Bank Bhd. mengekalkan saranan 'pegang' dengan nilai saksama tidak berubah pada RM4.20 sesaham.

 

"Walaupun kami menaikkan unjuran pendapatan sesaham (EPS) sebanyak 13.4% bagi tahun kewangan 2022 dengan mengambil kira harga purata minyak sawit mentah pada RM3,500 satu tan metrik, tetapi kami juga merendahkan anggaran PE kepada 22.0x berbanding 25.0x sebelum itu.

 

"Ini bagi mencerminkan penarafan semula bagi sektor minyak sawit ekoran risiko alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG)," jelasnya. - DagangNews.com