IPO Ant digantung, disifatkan 'munasabah' | DagangNews Skip to main content

IPO Ant digantung, disifatkan 'munasabah'

 

 

SHANGHAI 4 Nov. - Tindakan China menggantung penyenaraian Ant Group yang bernilai AS$37 bilion dilihat sebagai 'perlu, munasabah dan sah' setelah mengambil kira kebimbangan terhadap risiko kestabilan kewangan, jelas seorang pakar kepada akhbar tempatan yang disokong kerajaan China. 

Menurut Reuters, keputusan mengejutkan itu menggagalkan penyenaraian terbesar dunia dalam beberapa hari lagi sekali gus memberi tamparan hebat kepada syarikat teknologi kewangan yang diasaskan bilionair, Jack Ma. 

Profesor di Universiti Sains Politik dan Undang-undang China, Zhang Zixue berkata, ini berikutan terdapat beberapa perdebatan di negara itu sejak akhir-akhir ini mengenai kebimbangan syarikat teknologi yang bergerak kepada sektor kewangan terutama apabila membabitkan persaingan yang adil dan data peribadi. 

"Ant dan perantaranya perlu menilai masalah dan risiko sepenuhnya seperti digambarkan dalam pendapat umum dan mengambil langkah pencegahan berkesan," katanya kepada akhbar Chinese Securities Journal. 

Bursa saham Shanghai menggantung tawaran awam permulaan (IPO) Ant di STAR Market yang tertumpu kepada teknologi sekali gus menyebabkan syarikat itu turut membekukan penyenaraiannya di Hong Kong. 

Sumber memberitahu Reuters, keputusan itu dibuat selepas mesyuarat pengawal selia kewangan China pada Isnin yang mana Ma dan barisan eksekutif atasannya dimaklumkan bahawa perniagaan pinjaman dalam talian yang menguntungkan Ant selama ini akan melalui pemeriksaan yang ketat.  

Susulan itu, ramai berpendapat pengawal selia sebelum ini menutup sebelah mata terhadap pertumbuhan pantas Ant, tetapi dengan IPO, ia bermakna mereka tidak boleh melakukannya lagi kerana akan memberi risiko kepada pemegang saham dan orang awam. 

Kini tumpuan beralih kepada Ma, yang mengkritik sistem kewangan dan kawal selia dalam sebuah majlis bulan lalu yang turut dihadiri pengawal selia China sekali gus mencetuskan kritikan bahawa pengasas Alibaba Group itu semakin lupa kedudukannya. - DagangNews.com