IPO NationGate terlebih langgan sebanyak 16.49 kali | DagangNews Skip to main content

IPO NationGate terlebih langgan sebanyak 16.49 kali

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 4 Jan - Tawaran awam permulaan (IPO) pembekal perkhidmatan pembuatan elektronik (EMS) NationGate Holdings Berhad terlebih langgan sebanyak 16.49 kali.

 

Kumpulan itu dalam satu kenyataan berkata, pihaknya menerima sejumlah 20,444 permohonan untuk mendapatkan 1.81 bilion saham baharu bernilai RM689.16 juta bagi 103.70 juta saham baharu yang disediakan untuk langganan awam.

 

Bahagian saham awam Bumiputeranya terlebih langgan sebanyak 9.10 kali, selepas kumpulan itu menerima sejumlah 9,431 permohonan bagi 523.50 juta saham baharu, manakala bagi bahagian awam selebihnya, sejumlah 11,013 permohonan untuk 1.29 bilion saham baharu diterima, yang mewakili kadar lebihan langganan sebanyak 23.88 kali.

 

Sejumlah 103.70 juta saham baharu untuk pengarah, pekerja dan individu yang layak yang telah menyumbang kepada kejayaan kumpulan telah dilanggan sepenuhnya.

 

Selain itu, ejen penempatan itu mengesahkan bahawa 518.48 juta saham yang disediakan untuk permohonan melalui penempatan persendirian kepada pelabur Bumiputera terpilih, seperti yang diluluskan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, dan pelabur terpilih telah dikeluarkan sepenuhnya.

 

Pengarah Urusannya, Ooi Eng Leong berkata, kumpulan itu gembira melihat sokongan padu daripada pelabur runcit dan jumlah langganan yang diterima menunjukkan keyakinan orang ramai terhadap model perniagaan kumpulan dan rancangan masa depan.

 

“Sebahagian daripada hasil akan membolehkan NationGate membeli pelbagai bahan mentah, bahan pakai buang dan komponen elektronik yang digunakan untuk aktiviti EMS syarikat seiring dengan pertumbuhan yang dijangka dalam aktiviti perniagaannya.

 

“Ia juga akan membolehkan NationGate membiayai sebahagian pemerolehan mesin dan peralatan baharu untuk mengembangkan penawaran perkhidmatan EMS dan kapasiti pemasangan teknologi pelekap permukaan bagi menampung permintaan yang meningkat daripada pelanggan multinasional sedia ada dan pelanggan baharu dalam tempoh 36 bulan akan datang,” katanya.

 

Kumpulan dijangka meraih sejumlah RM165.50 juta daripada terbitan awam sebanyak 435.53 juta saham, dengan harga terbitan 38 sen sesaham.

 

M&A Securities Sdn. Bhd. merupakan penasihat, penaja, penaja jamin dan ejen penempatan untuk pelaksanaan IPO. - DagangNews.com