KUALA LUMPUR 15 Julai - Iran bersedia untuk meningkatkan import minyak sawit dari Malaysia hingga mencapai satu juta metrik tan dan lebih tinggi setiap tahun dalam usaha mengatasi permintaan yang meningkat dalam beberapa tahun akan datang.
Dalam kenyataan hari ini, Kedutaan Iran di Malaysia berkata, bagaimanapun ia memerlukan kerjasama yang lebih baik antara kedua-dua pihak termasuk kementerian, syarikat milik kerajaan (GLC) dan agensi berkaitan bagi mengukuhkan hubungan dua hala untuk mencapai matlamat tersebut.
Katanya, untuk memacu industri dan meningkatkan lagi aktiviti perdagangan dua hala, Iran akan terus meningkatkan import minyak sawit ketika negara itu membuka jalan ke arah pemulihan ekonomi akibat pandemik COVID-19.
"Sehubungan itu, Iran bersedia menjadi hab Malaysia bagi pengedaran minyak sawit dan produk berkaitan minyak sawit dalam pasaran yang menguntungkan di negara-negara Asia Barat dan Asia Tengah yang bersempadan dengan negaranya.
"Ini akan membuka landasan hubungan perdagangan dua hala yang lebih strategik antara kedua-dua negara untuk menjadi pintu masuk antara satu sama lain pintu ke negara-negara lain," katanya.
Di sebalik pandemik COVID-19 yang berpanjangan, Iran terus meningkatkan import minyak sawit dengan pertumbuhan yang signifikan antara Januari hingga Mei tahun ini berbanding tahun lalu.
Data terkini menunjukkan Ira berada di senarai teratas dari segi jumlah import minyak sawit dalam kalangan sembilan lagi negara Asia Barat di rantau ini.
Ia mendapati, Iran mengimport sebanyak 309,704 tan metrik minyak sawit dalam tempoh tersebut, mencatat pertumbuhan 5 kali ganda berbanding tahun lalu, 63,039 tan metrik.
Menurut Kedutaan Iran, Malaysia boleh menjadi pintu masuk penting kepada negara ASEAN lain, yang memiliki populasi berjumlah 650 juta orang.
"Dengan melihat kepada sejarah perdagangan antara kedua-dua negara dalam tempoh 5 tahun lalu, kedua-duanya menyaksikan pertumbuhan kukuh sejak 3 tahun antara 2016 hingga 2018.
"Ini berikutan Perjanjian Nuklear Iran pada 2015 dan juga nilai dagangan dua hala berkembang daripada RM2.82 bilion pada 2016 kepada RM4.52 bilion pada 2017," tambahnya.
Jelasnya lagi, meskipun aktiviti perdagangan dua hala antara Iran dan Malaysia merosot tahun lalu kerana akibat pandemik tersebut, namun Iran akan terus memperkukuhkan hubungan dengan Malaysia ketika kedua-dua negara menuju landasan pemulihan tahun ini. - DagangNews.com