Iris gagal jual pegangan dalam anak syarikat yang kehilangan projek NIISe | DagangNews Skip to main content

Iris gagal jual pegangan dalam anak syarikat yang kehilangan projek NIISe

Oleh Mohamad Iman

KUALA LUMPUR 16 April - Iris Corp Bhd membatalkan penjualan 80% kepentingan bernilai RM70 juta dalam Iris Information Technology Systems Sdn Bhd (IITS) milik penuhnya, bekas pemaju Sistem Imigresen Bersepadu Nasional (NIISe) bernilai RM1.16 bilion.

 

Iris menamatkan perjanjian itu selepas pembeli, Tass Tech Technologies Sdn Bhd (TTTSB), gagal membayar tranche kedua perjanjian pelupusan kepentingan tersebut.

 

“Lembaga Pengarah ingin mengumumkan bahawa syarikat itu telah pada 10 Ogos 2023, atas permintaan TTTSB, memberikan lanjutan masa kepada TTTSB untuk menyelesaikan pembayaran Tranche 2 pada atau sebelum 29 Feb 2024.

 

"TTTSB telah gagal membuat sebarang penyelesaian untuk Tranche 2 pembayaran pada atau sebelum 29 Feb 2024,” kata syarikat itu dalam makluman di Bursa Malaysia.

 

“Memandangkan perkara di atas, syarikat telah memilih untuk menamatkan SSA (perjanjian penjualan saham) secara muktamad,” katanya.

 

 

 

 

Perjanjian yang ditandatangani pada 10 Feb 2023 terdiri daripada tiga pembayaran — deposit RM7 juta dibayar semasa perjanjian ditandatangani, RM41.13 juta bahagian kedua dalam tempoh tiga bulan perjanjian, dan RM21.88 juta bahagian ketiga dalam tempoh enam bulan.

 

Dengan penamatan perjanjian itu, TTTSB telah melucutkan deposit RM7 juta sebagai ganti rugi dan pampasan yang dipersetujui.

 

 

niise

 

 

IITS kehilangan kontrak RM1.16 bilion untuk membangunkan NIISe selepas Kementerian Dalam Negeri menamatkan kerja pada Ogos tahun lepas kerana kegagalannya memenuhi jadual perancangan projek. Penamatan kontrak berlaku hanya lebih dua setengah bulan selepas tarikh akhir dilanjutkan selama 12 bulan hingga 31 Ogos 2026.

 

IITS pada mulanya dianugerahkan kontrak NIISe bernilai RM1.16 bilion pada 1 Mac 2021, semasa pentadbiran Tan Sri Muhyiddin Yassin, untuk tempoh 54 bulan hingga 31 Ogos 2025.

 

Iris mempertikaikan penamatan itu dan telah mendapatkan timbang tara berhubung perkara itu di Pusat Timbang Tara Antarabangsa Asia (AIAC).

 

Sementara itu, dilaporkan kementerian sedang meneliti kontraktor baharu untuk projek NIIse.

 

Awal tahun ini, media melaporkan Dagang NeXchange Bhd, HeiTech Padu Bhd dan Theta Edge Bhd difahamkan telah disenarai pendek untuk projek itu.

 

Saham dalam Iris berakhir tidak berubah pada 30.5 sen, menilai syarikat tersenarai Pasaran ACE itu pada RM244.78 juta.- DagangNews.com