ITMAX System lengkapkan perjanjian taja jamin untuk terbitan IPO bagi Pasaran Utama | DagangNews Skip to main content

ITMAX System lengkapkan perjanjian taja jamin untuk terbitan IPO bagi Pasaran Utama

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 10 Nov - ITMAX System Berhad memetrai perjanjian taja jamin bersama Maybank Investment Bank Berhad, CIMB Investment Bank Berhad dan AmInvestment Bank Berhad bersempena tawaran awam permulaan (IPO) untuk disenaraikan di Pasaran Utama, Bursa Malaysia.

 

Penyenaraian itu akan melibatkan tawaran penjualan 129.45 juta saham sedia ada dan terbitan awam sebanyak 190.55 juta saham baharu, dengan jumlah 320 juta saham.

 

Sejumlah 289.16 juta saham terbitan atau 28.13% adalah tawaran institusi daripada modal saham terbitannya yang diperbesarkan dengan 128.5 juta saham akan ditawarkan kepada pelabur Bumiputera yang diluluskan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri

 

Sejumlah 160.66 juta akan ditawarkan kepada institusi dan pelabur terpilih.

 

Tawaran runcit sebanyak 30.84 juta saham mewakili 3% daripada modal saham terbitan yang diperbesarkan, di mana 10.28 juta akan dikhaskan untuk pengarah, pekerja dan individu yang telah menyumbang kepada kejayaan Sistem ITMAX, manakala 20.56 juta akan dikhaskan untuk permohonan awam melalui undi.

 

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, William Tan Wei Lun berkata, ITMAX System terlibat dalam pembekalan dan pemasangan dan penyediaan sistem rangkaian ruang awam.

 

"Kami percaya IPO ini akan membantu kami menyediakan dana untuk mengembangkan aplikasi bandar pintar kami kepada Kementerian Wilayah Persekutuan dan kerjaan negeri lain di dalam Malaysia.

 

"Menerusi keupayaan penyelidikan dan pembangunan, kami menyasarkan untuk mengembangkan perniagaan kami ke dalam pasaran berbeza," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Maybank Investment Bank merupakan penasihat utama, penaja jamin bersama, penaja jamin pengurusan dan penaja jamin bersama untuk IPO.

 

CIMB Investment Bank ialah penaja jamin bersama manakala AmInvestment Bank merupakan penaja jamin bersama untuk penyenaraian itu. - DagangNews.com