SHAH ALAM 20 Ogos - Jabatan Penerangan menyasarkan pendaftaran seramai 1,500 sukarelawan jabatan itu bersempena penganjuran Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) Selangor yang berlangsung sehingga 21 Ogos 2022.
Jurucakap jabatan itu, Zaibeenorsari Nordin berkata, mereka yang dikenali sebagai sukarelawan Jabatan Penerangan (JaPen) itu akan membantu dalam mempromosi program-program kerajaan selain menghebahkan maklumat terkini kepada orang ramai.
Katanya, mereka itu bukan sahaja akan membantu Jabatan Penerangan sebaliknya akan digerakkan kepada agensi-agensi lain yang memerlukan.
"Macam contoh untuk sambutan Hari Kemerdekaan, mereka ini akan digerakkan bagi mempromosikan program yang akan diadakan menerusi rangkaian mereka di media sosial dan sebagainya.
"Sukarelawan ini juga akan membantu kerajaan untuk aktiviti lain seperti bencana alam seperti mana yang pernah berlaku sebelum ini dan program-program lain," katanya kepada DagangNews.com ketika ditemui di perkarangan Stadium Shah Alam, hari ini.
Beliau berkata, setakat semalam, lebih 500 orang sudah mendaftar sebagai sukarelawan JaPEn dan jumlah itu dijangka terus bertambah menjelang hari terakhir esok.
Katanya, pihaknya sememangnya mengalu-alukan penyertaan sukarelawan seperti ini kerana mereka dilihat memainkan peranan penting dalam membantu kerajaan.
"Pendaftaran ini dibuka pada setiap kali penganjuran Jelajah AKM dan sehingga kini Kelantan merekodkan pendaftaran teramai iaitu seramai 3,000 orang sukarelawan sepanjang tiga hari penganjuran di sana," katanya. - DagangNews.com