Jelajah AKM: WarongKu sasar penglibatan 10,000 peniaga di Warong Mall menjelang Disember 2022 | DagangNews Skip to main content

Jelajah AKM: WarongKu sasar penglibatan 10,000 peniaga di Warong Mall menjelang Disember 2022

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

SHAH ALAM 19 Ogos - WarongKu menyasarkan penglibatan 10,000 peniaga di dalam aplikasi Warong Mall menjelang Disember 2022.

 

Ketua Pegawai Pemasarannya, Izzat Johari berkata, platform e-dagang yang ditubuhkan semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pertama itu pada mulanya bertujuan mencari penghantar barangan sebelum berhasrat untuk dikembangkan menjadi seperti Lazada dan Shopee.

 

Katanya, platform itu adalah untuk memberi peluang kepada peniaga Islam dan bumiputera untuk mendigitalkan peniagaan mereka untun terus bersaing pada masa akan datang.

 

"Buat masa sekarang fokus kami adalah untuk mencari seramai mungkin peniaga untuk berada dalam Warong Mall kerana tidak guna aplikasi ini ada sekiranya tiada peniaga untuk menjual barangan mereka.

 

"Sasaran 10,000 peniaga menjelang akhir tahun ini adalah realistik kerana ketika ini kami memiliki lebih 5,000 peniaga sudah bersama kami," katanya kepada DagangNews.com ketika ditemui di Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM), Selangor di perkarangan Stadium Shah Alam, hari ini.

 

izzat
Izzat Johari

 

WarongKu merupakan aplikasi super yang menyediakan perkhidmatan penghantaran makanan, penghantaran barang dan penghantaran ekpress manakala Warong Mall merupakan platform e-dagang tempatan untuk peniaga Islam dan bumiputera di Malaysia.

 

Selain itu Warong Pos merupakan kerjasama bersama Pos Malaysia yang menawarkan perkhidmatan penghantaran barang ke seluruh Malaysia dengan sasaran pembukaan 2,000 outlet berdaftar sebelum akhir 2023.

 

Izzat berkata, antara matlamat lain Warongku itu adalah untuk membantu peniaga menyediakan rekod kewangan yang tersusun kepada peniaga bagi memudahkan urusan untuk mendapatkan geran dan bantuan daripada Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi. 

 

"Fokus utama kami adalah untuk membantu mendigitalkan perniagaan produk tempatan agar mereka boleh terus bersaing dengan peniaga-peniaga lain," katanya. - DagangNews.com