BERI sokongan kepada jiran yang dijangkiti COVID-19, doakan cepat sembuh. Bukan viralkan gambar, memalukan dia. - GAMBAR HIASAN
MERREPAK oleh JOHARDY IBRAHIM
Tarikh 31 Januari 2021 adalah hari menyedihkan bila awal pagi dikejutkan dengan berita pemergian sahabat karib sejak kami di bangku sekolah rendah. Arwah Hatta baru memasuki usia 49 tahun.
Saya berkenalan dengan arwah Hatta pada 1984 ketika dia baru bertukar sekolah. Pertama kali bersua terus mesra. Faktor utama ialah kami menunggu bas di tempat sama. Saya ke BDC, dia ke Kg Haji Baki.
Saya merantau ke Semenanjung pada 1993 tetapi ikatan kami tidak terjejas. Bila dia ke KL, kami sedaya-upaya berjumpa. Pernah sekali sama-sama menonton perlawanan akhir Piala Malaysia di Stadium Merdeka pada 1999. Sarawak 1-Brunei 2. Sama-sama muka penat keluar stadium. Penat menjerit.
November 2020, saya kembali berkhidmat di Sarawak. Hatta antara yang pertama mengetahuinya di luar lingkungan keluarga. Kami berdua menjamu juadah restoran mamak, setelah saya selesai menjalani 15 hari kuarantin. Dia sendiri pun mengaku tidak pernah makan beraneka juadah. Macam dia pula kena kuarantin.
Jumaat lepas, sudah terdetik hati untuk menghubunginya. Tetapi Kuching dilanda hujan lebat. Ini menyebabkan tahap kemalasan tinggi. Semasa pengebumian hari ini, isteri arwah memberitahu Hatta memang menantikan panggilan saya. Jika tahu akhirannya begini, tidak hujan tidak ribut memang saya akan usahakan perjumpaan. Tetapi inilah ajal maut di tangan Tuhan.
Sesi teh tarik yang selama ini turut ditemani Nordaeni, kini sudah tidak sama lagi. Anggota korum sudah hilang. Persahabatan selama 37 tahun tidak akan dapat diulang. Saya dan Nordaeni akan cuba bertemu di hujung minggu selepas ini.
Hatta adalah seorang daripada empat sahabat yang meninggal dunia dalam tempoh tiga bulan saya berada di Sarawak. Pertama, Datuk Baharom Mahussin iaitu Ketua Pengarang Sinar Harian semasa kami sama-sama berkhidmat di Kumpulan Utusan adalah bos yang berubah menjadi sahabat yang saling bertukar pandangan.
Yang kedua, Hardi Effendi Yaacob yang dikenali sejak arwah di Berita Harian dan peranan terakhirnya sebagai pegawai khas media kepada Datuk Seri Alexander Nanta Linggi menyaksikan kami berkomunikasi secara kerap, malah menyimpan janji untuk sesi teh tarik bila dia bakal menyertai rombongan menteri ke Kuching.
Yang ketiga, arwah Zakhir Mohammed atau juga dikenali dengan nama pena `Big Dog’ juga banyak membantu dari segi memberi nasihat dan panduan, selain cerita dalaman politik yang diketahuinya. Sesi `pertunangan petang' dia bersama Datuk Rocky di BSC, adalah sesi-sesi yang cukup mengujakan.
Dan hari ini, arwah Hatta pula pergi dahulu.
Bersama doa dan ayat al-Fatihah dititipkan, semoga roh para sahabat di atas, diberi rahmat bersama orang-orang yang beriman kepada-Nya.
SOP COVID-19
Semasa di tanah perkuburan tadi juga, dua anggota polis hadir memantau bagi memastikan SOP dipatuhi. Katanya, 30 orang sahaja dibenar berada di sekitar kawasan dan hadirin hendaklah berdiri dalam jarak 1 meter antara satu sama lain.
SOP itu termasuk pemantauan polis, terpaksa dilakukan kerana kes yang merebak di Sibu, tercetus daripada upacara pengebumian. Arwah sahabat saya bukan meninggal disebabkan COVID-19 tetapi SOP di tanah perkuburan tetap perlu dipatuhi.
Kedua-dua anggota polis tersebut cukup profesional dan berkomunikasi dengan baik. Mulanya agak canggung tetapi mereka berbual bersama hadirin, menjelaskan mengapa mereka terpaksa memantau.
Tambah-tambah lagi Kg Haji Baki pernah diletakkan dalam kategori PKP bila angka kes positif melambung tahun lalu.
Rasanya, tiada siapa akan tersinggung. Ahli keluarga tahu, hadirin yang datang berziarah juga tahu. Ini era COVID-19. Semua kena berwaspada dan patuh SOP.
STIGMA COVID-19
Jika anda menyemak aplikasi MySejahtera, anda boleh memperoleh maklumat mengenai bilangan kes positif COVID-19 di kawasan kejiranan anda.
Dalam grup WhatsApp kejiranan, pasti akan ada yang aktif mengemas kini maklumat tersebut. Bagus, untuk makluman semua.
Yang kurang bagus, bila ada yang marah-marah. Kenapa tidak memberitahu jiran bila diri atau ahli keluarga terkena COVID-19? Orang keberatan hendak beritahu sebab perangai bengis awak lah. Tak beritahu marah, beritahu lagi-lagilah marah.
Satu tulisan seorang pengamal perubatan mengenai apa anda patut lakukan jika jiran anda positif COVID-19. Saya tidak akan siarkan bulat-bulat, nanti dikata plagiat. Sekadar mengambil isi penting iaitu:
- Tiada siapa mahu kena jangkit COVID-19. Tapi kalau sudah terkena, jiran tetangga berperanan memberi sokongan moral. Berdiri tepi pagar. Beri isyarat `bagus’ menandakan doa anda supaya jiran itu lekas sembuh.
- Bukan ambil gambar dia naik ambulans, kemudian siar dalam grup yang kemudian tular ke seluruh mukim dan negeri. Bila mereka sembuh nanti, sakit kena tular jiran sebelah itu belum tentu ada vaksin.
- Dalam sebuah rumah, mungkin ada seorang terkena menyebabkan yang lain terpaksa dikuarantin sehingga disahkan negatif. Sementara menanti kuarantin, beri jiran anda bantuan seperti makanan, minuman dan password Netflix.
- Jaga bahasa anda di dalam apa jua media sosial baik WhatsApp mahupun Facebook. Pesakit COVID-19 ini tiada siapa yang mahu positif. Mereka mangsa keadaan. Janganlah anda mencemuh, menghina atau menyindir keterlaluan mengaitkan kebenaran rentas daerah sebagai punca. Berpada-padalah. Anda sendiri belum tentu kebal dari COVID-19.
- Salurkan maklumat tepat mengenai COVID-19 seperti dianjurkan oleh Kementerian Kesihatan dan elak sebar benda-benda yang tiada sumber sah. Berhenti sebar sebelum identiti anda dibongkar oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia. - DagangNews.com
MERREPAK adalah ruangan pojok setiap Ahad oleh Johardy Ibrahim, yang merupakan Ketua Kandungan TV Sarawak, Editor DagangNews.com dan bekas Editor Eksekutif Utusan Malaysia 1938, pada setiap Ahad yang menyentuh mengenai apa sahaja yang mencuit jiwa perasaan seminggu ini atau hal-hal yang menyebabkannya mendengar lagu See You Again oleh Wiz Khalifa berulang-ulang kali.
*Merrepak atau Krepak adalah dialek Melayu Sarawak bersamaan maksud `membebel'.