J&T Express tukar IPO ke Hong Kong akibat Perang Dagang China-Amerika | DagangNews Skip to main content

J&T Express tukar IPO ke Hong Kong akibat Perang Dagang China-Amerika

JAKARTA 30 Ogos – Syarikat kurier Indonesia, J&T Express sedang mempertimbangkan menukar tawaran awal permulaan (IPO) dari Amerika Syarikat ke Hong Kong, yang dijangka menjana kira-kira AS$1 bilion.

 

Bloomberg News yang memetik sumber berkata, J&T Express yang berpusat di Jakarta itu melantik Bank of America Corp, China International Capital Corp dan Morgan Stanley mengenai potensi jualan saham sulung syarikat seawal-awalnya tahun depan.

 

J&T pada asalnya merancang mengadakan IPO di Amerika Syarikat pada suku keempat tahun ini, lapor Bloomberg News pada April lalu.

 

Perubahan lokasi berkait rapat dengan ketetapan pihak berkuasa China yang mengumumkan mahu memantau ketat syarikat-syarikat yang tersenarai di bursa luar negara tersebut.

 

Walaupun J&T adalah sebuah entiti Indonesia, sebilangan pelabur syarikat itu adalah berpangkalan di China, malah syarikat logistik ini memiliki operasi yang besar di sana. Ini mencetuskan kebimbangan J&T juga tidak terlepas daripada cengkaman Beijing.

 

Persediaan bagi penyenaraian di Hong Kong masih di peringat awal dan butiran mengenai rancangan IPO syarikat itu termasuk dari segi saiz dan tempoh masa belum ditetapkan lagi.

 

‘’J&T mungkin akan memutuskan untuk disenarai di Amerika Syarikat kemudian, setelah penyenaraian di Hong Kong selesai,’’ kata sumber tersebut lagi.

 

J&T ditubuhkan pada 2015 oleh Jet Lee dan Tony Chen, dan telah meluas operasinya di Kemboja, China, Indonesia, Malaysia, Filipina, Thailand, Singapura dan Vietnam serta menggaji lebih 350,000 orang.

 

 

jet lee
Jet Lee adalah CEO syarikat telefon Oppo sebelum menubuhkan J&T bersama Tony Chen pada 2005.

 

Di China, J&T dikenali kerana penetapan harga dan perluasannya yang agreasif, memberi cabaran kepada syarikat seperti SF Holding Co. Dan YTO Express Group Co. yang didokong oleh Alibaba Group Holding Ltd.

 

Pada April lalu, pihak berkuasa di Yiwu, sebuah bandar di provinsi Zhejiang, mendenda J&T kerana `menjual di bawah paras kos’ dan diarahkan memperbetulkan harga, kata Bloomber lagi.

 

Namun, J&T Express bukan satu-satunya syarikat yang terpaksa memikirkan semula rancangan untuk disenaraikan di New York akibat perang dagang China dan Amerika Syarikat.

 

Syarikat Lalamove juga dilaporkan menukar rancangan awal untuk disenaraikan di Amerika Syarikat ke Hong Kong pada Julai lalu, manakala laman e-dagang Xiaohongshu, atau Little Red Book, menangguhkan sementara rancangan penyenaraian di New York.

 

Di pihak Amerika Syarikat, Suruhanjaya Sekuriti dan Bursa telah meminta syarikat-syarikat China yang mahu disenaraikan di luar China supaya menyediakan butiran penuh maklumat yang diistilahkan sebagai `struktur kepentingan boleh ubah (variables) entiti korporat yang diguna oleh syarikat seumpamanya untuk disenarai di luar China. – DagangNews.com